TELUK INTAN – Seorang pengarah syarikat kerugian RM203,200 akibat terperdaya dengan sindiket ‘phone scam’ menerusi aplikasi WhatsApp oleh individu yang menyamar sebagai wakil daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal berkata, siasatan awal, mendapati mangsa telah menerima pesanan WhatsApp mendakwa dari KBS Cawangan Ipoh pada jam 11.43 pagi, 21 Februari lalu.
Menurutnya, menerusi pesanan WhatsApp itu, suspek menawarkan kepada syarikat mangsa satu kontrak membekalkan peralatan elektrik (power station) dengan nilai kontrak berjumlah RM203,200.
“Suspek turut memberi surat LO (Pesanan Kerajaan) yang palsu atas nama KBS kepada mangsa melalui Whatsapp sehingga membuatkan mangsa percaya syarikatnya mendapat kontrak tersebut.
“Bagaimanapun, mangsa diminta menghubungi sebuah syarikat lain untuk pemprosesan kontrak penyediaan elektrik melibatkan empat buah power station melalui nombor telefon WhatsApp yang diberikan suspek kepada mangsa.
“Mangsa telah menghubungi syarikat yang telah dicadangkan suspek dan menerima kontrak tersebut dan membuat transaksi wang secara dalam talian sebanyak tiga kali ke atas tiga akaun bank berbeza sehingga mangsa kerugian RM203,200,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudiannya berasa curiga dan menghubungi pihak kementerian bagi menyemak kelulusan kontrak tersebut.
“Pihak kementerian memaklumkan kepada mangsa bahawa kontrak itu tidak wujud dan mangsa membuat laporan polis pada jam 12.59 tengah hari, Selasa lalu,” jelasnya.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette