MUAR – Seorang remaja berusia 16 tahun cedera parah selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Muar-Batu Pahat berdekatan Sungai Balang Besar, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan yang melibatkan dua kenderaan terbabit pada pukul 9.40 malam.
“Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa seorang lelaki tempatan berusia 67 tahun yang memandu kereta berhenti di kiri jalan arah Batu Pahat menghala ke Parit Jawa.
“Apabila kereta hendak keluar dari bahu jalan untuk bergerak terus, kereta tersebut telah dilanggar motosikal ditunggang mangsa yang sedang bergerak terus dari arah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kemalangan tersebut menyebabkan pemandu kereta berkenaan hilang kawalan ke kanan jalan dan terbabas lalu melanggar rumah kedai di sebelah kanan jalan.
Pelanggaran itu katanya, menyebabkan remaja berkenaan mengalami cedera parah di bahagian kaki dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, manakala warga emas tersebut tidak cedera.
“Pemandu kereta berkenaan dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk menjalani ujian saringan awal air kencing serta ujian pernafasan.
“Ujian toksologi tidak terkesan elemen dadah dan alkohol pada pemandu kereta,” ujarnya menafikan dakwaan netizen dalam video yang tular berhubung kejadian tersebut bahawa warga emas berkenaan mabuk.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan boleh dipenjara tidak lebih 12 bulan.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memuat naik hantaran yang boleh mengganggu ketenteraman awam. – MalaysiaGazette