Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Prospek sektor penjagaan kesihatan di Malaysia kekal menjanjikan pertumbuhan tahun ini didorong oleh pengukuhan selera pelabur terhadap aset penjagaan kesihatan berkualiti tinggi.

RHB Investment Bank Bhd berkata, permintaan berterusan daripada pelabur disokong peralihan struktur yang kekal disebabkan oleh populasi negara yang semakin menua.

Katanya, inisiatif terbaharu kerajaan dalam menubuhkan insurans kesihatan nasional dan produk takaful turut menyumbang kepada pertumbuhan sektor berkenaan.

Ini kerana langkah tersebut lebih mampan dalam memastikan akses yang lebih saksama kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan awam dan swasta.

“Mekanisme sedemikian adalah serupa dengan MediSave di Singapura, di mana individu berpendapatan diwajibkan menyumbang sebahagian daripada gaji mereka ke dalam dana yang diuruskan oleh entiti milik kerajaan, dan simpanan tersebut boleh digunakan untuk rawatan perubatan apabila diperlukan,” katanya dalam satu nota kajian hari ini.

Sementara itu, bank berkenaan berkata ketidakpastian kawal selia yang timbul akibat mekanisme penetapan harga berkaitan diagnosis (DRG) boleh menjejaskan sentimen pelabur dalam jangka masa terdekat.

“Secara keseluruhannya, kami percaya pelaksanaan mekanisme harga DRG masih memerlukan kajian mendalam dan penglibatan menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan, memandangkan setiap prosedur perubatan mempunyai tahap kerumitan dan kos yang berbeza,” katanya.

Bank itu menukar pilihan utama sektor kepada KPJ Healthcare kerana lebih cenderung kepada pemain domestik, memandangkan syarikat penjagaan kesihatan dengan pendedahan ketara di luar negara mungkin masih berdepan cabaran, terutamanya akibat ketidaktentuan inflasi dan geopolitik.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here