KULAI – Sebanyak 1,142 tan sisa makanan dilupuskan setiap hari dalam tempoh minggu pertama Ramadan di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 35 peratus.
Jelasnya, statistik tersebut menunjukkan purata pelupusan sisa pepejal didapati menurun iaitu 3,223.88 tan sehari berbanding bulan sebelumnya iaitu 4,559.71 tan sehari.
Katanya, perkembangan itu membuktikan program anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bersama-sama rakan strategik sejak 2015 untuk mengurangkan pembaziran makanan dan jumlah sisa makanan yang dilupuskan ke tapak pelupusan berjaya menampakkan hasilnya.
“Pengurangan pelupusan sisa makanan ini menunjukkan Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran (VFNW) sempena bulan ramadan berjaya mendidik masyarakat untuk elak pembaziran makanan.
“Kejayaan kempen ini turut disokong oleh program MySaveFood@Ramadan yang mana SWCorp bersama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia mengedar juadah tak terjual di bazar Ramadan ke masjid, sekolah dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan sesi libat urus VFNW bertemakan Cabaran Sebulan Tanpa Pembaziran sempena Ramadan di bazar Ramadan Jalan Merbau, Bandar Putera, di sini, semalam.
Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khaled Mohamed dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin.
Mengikut data tahun lalu, program MySaveFood@Ramadan 2024 telah berjaya menyelamatkan sebanyak 1,339 kilogram lebihan makanan daripada 35 bazar Ramadan di negeri ini.
Mohd Jafni berkata, penganjuran kempen oleh SWCorp dan rakan kolaborasi lain ini menyumbang kepada pencapaian sasaran Sustainable Development Goal (SDG) 12.3, iaitu pengurangan separuh daripada sisa makanan global per kapita pada tahun 2030.
Katanya, objektif kempen itu disasarkan berikutan hasil dapatan kajian komposisi sisa pepejal mengikut komponen yang dijalankan oleh SWCorp merekodkan sisa makanan merupakan sisa yang paling banyak dilupuskan di tapak pelupusan.
“Kempen ini telah menunjukkan impak positif dalam mendidik masyarakat untuk elak pembaziran makanan terutamanya pada bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.
Sementara itu, Khaled berkata, sehingga kini, sebanyak 1,585.48 kilogram makanan telah berjaya dikumpulkan daripada 29 bazar Ramadan di negeri ini.
“Pada tahun lalu, projek ini telah berjaya menyelamatkan sebanyak 60,798.8 kg lebihan makanan yang dianggarkan bernilai RM717,021.18 dari 147 bazar di seluruh Malaysia.
“Lebihan makanan yang tidak berjaya dijual oleh peniaga bazar diselamatkan dan diberikan kepada pihak masjid berhampiran, pelajar institut pengajian tinggi dan anggota badan beruniform yang sedang bertugas,” ujarnya. – MalaysiaGazette