Usahawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman hadir bagi mendengar empat pertuduhan keputusan memuat naik kandungan video sumbang di Mahkamah Sesyen Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 MAC 2025

SEPANG – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini memerintahkan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman membela diri terhadap empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang, tiga tahun lalu.

Hakim Ahmad Fuad Othman memutuskan demikian selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang menimbulkan prima facie terhadap kes berkenaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Fuad berkata, video yang dimuat naik itu adalah tidak sopan ketika bulan Ramadan, yang mana bulan umat Islam berpuasa dan harus dihormati.

“Dalam hal ini, yang menjadi tidak sopan adalah video dalam bulan Ramadan di mana masyarakat muslim berpuasa.

“Bulan yang sepatutnya dihormati. Bagaimana dengan bulan puasa? Kalau makan di khalayak ramai di bulan puasa, tidak sopan walaupun benda tersebut tidak menjadi kesalahan.

“Tidak sopan apatah lagi memuatnaik video yang begini di bulan puasa di mana orang menghormati bulan puasa,” kata Hakim.

Aliff Syukri diwakili peguam bela, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Mohd. Radzlan Jalaludin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin.

Mahkamah menetapkan keterangan bela diri itu didengar selama empat hari bermula 19 Mei, 22 Mei, 16 Jun dan 3 Julai depan.

Aliff selepas keputusan dibuat mahkamah berkata, beliau menerima keputusan tersebut dan bersedia untuk membela diri.

“Saya menghormati keputusan mahkamah dan setelah hampir dua tahun (kes berjalan) saya serahkan kepada peguam saya untuk tindakan seterusnya,” katanya kepada media.

Pada 13 Oktober 2022, Aliff Syukri, 38, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here