KUALA LUMPUR- Menteri Kewangan meluluskan pelantikan Aznan Abdul Aziz sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara untuk tiga tahun berkuatkuasa 1 April 2025.
Bank Negara dalam kenyataan berkata, sebagai Timbalan Gabenor, Aznan akan memantau sektor penyeliaan dan pengawalan.
“Beliau akan menjadi ahli Lembaga Pengarah BNM dan Jawatankuasa Dasar Monetari. Aznan juga akan terus menganggotai pelbagai jawatankuasa BNM, termasuk Jawatankuasa Pengurusan Rizab, Jawatankuasa Pengurusan Risiko, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan, Jawatankuasa Dasar Bersama, Jawatankuasa Penguatkuasaan, Jawatankuasa Digital dan Teknologi serta Jawatankuasa Pengurusan Krisis,” katanya.
Beliau merupakan pemegang Ijazah Ekonomi dan Perakaunan daripada University of Bristol, United Kingdom.
Pada masa ini, beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Audit Lembaga bagi International Islamic Liquidity Management Corporation, ahli Lembaga Pengarah dan ahli Jawatankuasa Audit dan Risiko Lembaga bagi Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi International Association of Insurance Supervisors dan ahli ex officio bagi Yayasan Laporan Kewangan (Financial Reporting Foundation).
Dalam kenyataan yang sama, Bank Negara turut mengumumkan pelantikan Datuk Jessica Chew Cheng Lian sebagai Penasihat Teknikal berkaitan hal ehwal kestabilan kewangan berikutan persaraan beliau daripada BNM.
“Bagi pihak BNM, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Jessica atas sumbangan besar beliau kepada BNM dan negara.
“Datuk Jessica sentiasa memberikan sokongan dan pandangan yang bernas sepanjang perkhidmatan beliau selama 34 tahun demi mencapai mandat strategik BNM dan kecemerlangan organisasi.
“Saya juga menghargai kesediaan beliau untuk terus menyokong BNM dalam bidang teknikal yang berkaitan dengan kestabilan kewangan,” kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Berikutan pelantikan Aznan sebagai Timbalan Gabenor, BNM juga mengumumkan pelantikan Cindy Siah Hooi Hoon sebagai Penolong Gabenor.
Cindy akan bertanggungjawab ke atas jabatan Penyeliaan Konglomerat Kewangan, Penyeliaan Perbankan, Penyeliaan Insurans dan Takaful, Pakar Risiko dan Penyeliaan Teknologi serta Pemantauan Perkhidmatan Pembayaran.
Sebelum pelantikan ini, Cindy pernah berkhidmat di Jabatan Dasar Kewangan Pruden dan Jabatan Penyeliaan Perbankan. Beliau ditauliahkan sebagai Fellow of the Association of Chartered Certified Accountants dan Chartered Financial Analyst.
Beliau juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan daripada University of Warwick, United Kingdom.- MalaysiaGazette