Ir Syarul Izam Sarifudin

ISKANDAR PUTERI – Forest City sedia menaik taraf rangkaian jalan dan mewujudkan rangkaian rel untuk menjadi hab pengangkutan yang efektif sebagai usaha menjadi pemain utama dalam pertumbuhan di Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Timbalan Presiden Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Ir Syarul Izam Sarifudin berkata, bagi menjayakan hasrat itu, Forest City akan terus bekerjasama dengan Causeway Link bagi meningkatkan perkhidmatan bas awam dalam memastikan kelancaran perkhidmatan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, penambahbaikan perkhidmatan akan dilakukan termasuk mengoptimumkan laluan sedia ada antara Forest City dan pusat beli belah sekitarnya seperti EduCity, NSK Nusajaya dan AEON Bukit Indah.

“Ini termasuk penambahan kekerapan bas bagi laluan Forest City-Second Link serta pembukaan laluan baharu antara Forest City dan Kuala Lumpur khususnya pada hujung minggu.

“Perkhidmatan bas yang dinaik taraf di Forest City akan lebih terintegrasi dengan sistem perkhidmatan bas di Johor Bahru sekali gus meningkatkan lagi pergerakan pelbagai pihak.

“Laluan yang disebut telah dimulakan menerusi fasa percubaan sejak 12 Februari lalu dan beroperasi sepenuhnya pada 16 Februari. Pengguna boleh dapatkan maklumat lanjut menerus aplikasi Causeway Link,” katanya dalam kenyataan.

Sejak 2023, Forest City telah bekerjasama dengan Causeway Link untuk mewujudkan laluan bas menghubungkan kawasan itu dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, di sini.

Laluan berkenaan memudahkan akses penduduk kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Singapura untuk berulang alik.

Mengulas lanjut, Syarul Izam memaklumkan Forest City bersedia untuk mengambil bahagian sekiranya kerajaan merancang menghidupkan semula projek pengangkutan mega iaitu Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura serta pembinaan Aliran Transit Automasi (ART) atau Transit Aliran Ringan (LRT).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur, dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerajaan negeri komited meningkatkan kualiti jalan serta pengangkutan awam yang menghubungkan SFZ Forest City serta JS-SEZ bagi pembangunan kedua-dua inisiatif.

Katanya, jumlah pengembara yang merentas sempadan antarabangsa Malaysia dan Singapura di Tambak Johor serta Second Link melibatkan seramai 300,000 hingga 400,000 orang sehari.

“Sistem pemeriksaan tunggal yang dilaksanakan kerajaan di kedua-dua CIQ iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru dan KSAB sudah pun memulakan operasi.

“Ia menggunakan teknologi pengecaman wajah selain Kod QR dan pasport. Langkah ini dapat mempercepat proses pemeriksaan dan pelepasan Imigresen sekali gus diharap dapat melancarkan pergerakan pengembara,” katanya ketika mengulas perancangan pengangkutan awam di Forest City.

Mohamad Fazli memberitahu, kerajaan negeri juga mempunyai perancangan membangunkan rangkaian pengangkutan yang dapat menghubungkan SFZ Forest City dan juga kawasan JS-SEZ.

Tambah beliau, Rapid Transit System Link (RTS Link) yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura akan menjadi pemangkin perubahan pengembara dalam pergerakan antara kedua-dua negara.

RTS Link sedang dibangunkan mengikut jadual dan dijangka siap penghujung tahun 2026 sebelum mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2027.

“RTS Link mempunyai kapasiti pengangkutan maksimum sehingga 10,000 penumpang setiap jam dengan perancangan giat dibuat untuk menggunakan kaedah pemeriksaan tunggal bagi pelepasan Imigresen kedua-dua negara.

“Bagi menyokong perkhidmatan RTS Link itu, kerajaan negeri berhasrat membangunkan sistem ART bertingkat melibatkan Laluan Iskandar Puteri, Laluan Skudai dan Laluan Tebrau. Laluan Iskandar Puteri bakal menghubungkan SFZ Forest City dan juga kawasan JS-SEZ,” ujarnya.

Tambah Mohamad Fazli, sistem pengangkutan itu diyakini dapat meningkatkan keupayaan Forest City sebagai sebuah hab pengangkutan sekali gus berupaya menarik lebih banyak pelaburan domestik dan juga antarabangsa.

Untuk itu katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan pembangunan sistem pengangkutan yang sedang dirancang mahu pun yang sudah dilaksanakan akan dapat membantu Johor mencapai status negeri maju menjelang 2030.- MalaysiaGazeette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast