KUALA LUMPUR – Institusi asing kekal sebagai penjual bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keenam berturut-turut dengan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM160.3 juta.
Institusi asing menjadi penjual bersih pada tiga daripada lima hari dagangan sepanjang minggu berkenaan.
MBSB Research berkata, aliran keluar terbesar direkodkan pada Jumaat sebanyak RM207.1 juta, diikuti Rabu RM89.5 juta dan Khamis RM12.5 juta.
Sebaliknya, aliran masuk bersih terbesar dicatatkan pada Selasa sebanyak RM89 juta, diikuti Isnin RM59.8 juta.
Dari segi sektor, tiga sektor utama yang merekodkan aliran masuk bersih daripada institusi asing ialah perladangan sebanyak RM117 juta, penjagaan kesihatan (RM101.5 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM45.2 juta).
Sementara itu, perkhidmatan kewangan mencatatkan aliran keluar bersih asing terbesar sebanyak RM204.6 juta, diikuti pembinaan (-RM72.3 juta) dan teknologi (-RM56.9 juta).
Manakala, institusi tempatan menamatkan rentetan belian bersih selama enam minggu berturut-turut apabila merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM127.4 juta.
Pelabur runcit pula melanjutkan pembelian bersih kepada tiga minggu berturut-turut dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM287.7 juta.
Sementara itu, purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatatkan penurunan secara menyeluruh sepanjang minggu.
Dagangan pelabur runcit susut 6.4 peratus, diikuti institusi tempatan sebanyak 9.6 peratus, manakala dagangan institusi asing mencatatkan penurunan paling ketara sebanyak 20.2 peratus. – MalaysiaGazette
















