Bekas Pengerusi, Bendahari dan Setiausaha JMB Pangsapuri kos rendah di Bandar Tasik Selatan diiringi polis tiba di perkarangan mahkamah atas didakwaan melakukan pecah amanah sebanyak RM30,000 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 14 MAC 2025

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi, Bendahari dan Setiausaha Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan (BTS 1) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM30,000 di Mahkamah Majistret Jenayah, di sini, hari ini.

Ketiga-tiga tertuduh, Hashim Saad, 61, Rohana Mohd Aroff, 59, dan Mohammad Abu Dzar Abu Samah, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Arunjothy a/p M. Selvaraju.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 8 Julai 2019 dengan mengeluarkan wang dari akaun Maybank milik JMB BTS 1 tanpa sebarang dokumen sokongan dan tanpa persetujuan ahli jawatankuasa lain.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan (KK) yang dibacakan bersama Seksyen 34 akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 406 KK.

Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan, serta denda.

Menurut laporan audit kewangan yang diterima oleh Pengerusi JMB BTS 1 bagi penggal 2024-2025, Muhammad Raimi Farhan M Natni, wang tersebut dikeluarkan melalui cek tunai yang mengandungi tandatangan ketiga-tiga tertuduh tanpa sebarang dokumen sokongan.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM3,500 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 15 April 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh diwakili oleh peguam masing-masing iaitu Gursharonjit Kaur bagi Hashim, Luqman Hakim Azhar bagi Rohana, dan Shahir Ab Razak bagi Mohammad Abu Dzar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast