Dia rakan terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini melepas dan membebaskan mereka atas pertuduhan mengedar dadah

JOHOR BAHRU – Dua rakan terlepas hukuman mati setelah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah lebih 32.15 kilogram (kg) jenis methamphetamine lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Kan Weng Hin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Muhammad Aufa Bonadi, 28, dan Abbas Ahmad, 35, pada akhir kes pendakwaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dua rakan itu didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine dengan berat bersih 32,152.28 gram dalam sebuah bot bersebelahan sebuah inap desa di Jalan Selar, Telok Sengat, Kota Tinggi, pukul 12.10 tengah hari, pada 22 Mei 2020.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka boleh dijatuhkan hukuman mati atau jika tidak dihukum mati, hendaklah dipenjara seumur hidup dan disebat minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Weng Hin berkata, mahkamah berpendapat kedua-dua tertuduh tidak mempunyai hubungan dengan bot di inap desa berkenaan yang mana dadah ditemui dan sesiapa sahaja boleh mengakses kepada bot yang diletakkan di kawasan lapang itu.

“Bot ditinggalkan di kawasan berkenaan pada 18 Mac 2020 oleh seorang warga Indonesia. Negara kemudian melaksanakan perintah lock down dan hanya selepas dua bulan iaitu pada 19 Mei 2020, kedua-dua tertuduh datang ke homestay itu.

Homestay itu tidak berpengawal, tiada pagar dan bot berada di kawasan lapang. Sesiapa sahaja boleh mengakses kepada bot yang diletakkan di situ selama dua bulan. Tiada bukti menunjukkan kedua-dua tertuduh berada di lokasi berkenaan sebelum itu,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar, manakala Muhammad Aufa diwakili peguam Fairuz Elias Majid dan peguam Datin Freda Sabapathy serta K Sarawanan mewakili Abbas.

Seramai 11 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula 19 November 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here