FOTO Jabatan Imigresen Malaysia.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen menahan empat warga Bangladesh berusia antara 22 hingga 38 tahun dipercayai menjadi ejen haram kepada warga asing.

Penahanan itu hasil operasi selama dua hari bermula kelmarin di empat lokasi di sekitar ibu negara dan tiga lokasi di Bandar Bukit Raja, Selangor.

Operasi Khas itu bermula pukul 9.02 malam itu melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, semakan awal mendapati dua individu yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam sektor pembinaan, manakala dua lagi tinggal lebih masa.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut dalam premis yang diserbu, pasukan operasi merampas sebanyak 134 naskhah pasport pelbagai negara terdiri daripada 117 naskhah pasport Bangladesh; Nepal (4); masing-masing enam passport Myanmar dan Indonesia serta satu pasport India.

Turut dirampas, katanya, empat unit telefon bimbit, satu  unit komputer riba dan wang tunai berjumlah RM69,380, manakala dua buah kenderaan jenis Perodua Ativa dan Perodua Alza disita untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan imigresen kepada warganegara asing yang berada di negara ini seperti Pas Khas dengan mensasarkan pelanggan warganegara Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal yang telah tinggal lebih masa ataupun telah tamat PLKS.

“Pas Khas akan diuruskan oleh ejen haram ini untuk membolehkan mereka untuk terus tinggal dan berada di negara ini.

“Ejen ini turut menyediakan perkhidmatan mengubahsuai ePASS secara tidak sah dengan bayaran yang dikenakan kepada pelanggan adalah di antara RM2,000 hingga RM2,500 untuk setiap perkhidmatan yang ditawarkan.

“Ejen haram ini dipercayai telah menjalankan aktiviti selama setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zakaria, kesemua warganegara Bangladesh ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek.12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Sek.56(1A) (a) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, katanya, seorang wanita warganegara Malaysia dan tiga lelaki warganegara Bangladesh diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Tambahnya, Jabatan Imigresen akan mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966, Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 agar kestabilan dan kemakmuran negara Malaysia berada dalam keaadaan aman dan sejahtera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here