Orang ramai menghabiskan masa cuti hujung minggu datang ke kolam air panas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kolam Air Panas Selayang, Selangor. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tourism Malaysia hari ini melancarkan 36 pakej pelancongan wellness yang menggabungkan elemen kesihatan, budaya, dan alam semula jadi.

Inisiatif ini adalah sebagai mempelbagaikan pakej-pakej pelancongan yang boleh ditawarkan kepada pelancong-pelancong terutamanya bagi mereka yang merehatkan diri dan mempunyai minat dalam mencuba pelbagai rawatan diri yang ditawarkan.

Pakej-pakej ini dilancarkan dengan kerjasama 12 pemain industri yang terdiri daripada agensi pelancongan, hotel dan pusat kesihatan merangkumi pelbagai program kesejahteraan holistik, seperti rawatan spa dan terapi tradisional.

Penawaran bermula dari RM248 merangkumi pelbagai pengalaman kesejahteraan seperti terapi urutan tradisional Melayu untuk melegakan ketegangan otot, aktiviti pernafasan taici untuk meningkatkan ketenangan mental dan fizikal, forest bathing sambil menikmati suasana alam sekitar, mandian air panas yang menyegarkan dan pelbagai lagi.

Tempoh sah pakej-pakej ini adalah sehingga 31 Disember 2026 tertakluk kepada terma dan syarat.

Selain daripada menawarkan pakej-pakej wellness, cadangan program juga melibatkan lawatan ke tempat-tempat menarik yang terdapat berdekatan dengan pakej-pakej wellness yang ditawarkan seperti lawatan ke perkampungan budaya, lawatan ke tempat-tempat tarikan semulajadi, seperti kolam air panas dan sebagainya.

Pakej ini juga menawarkan lawatan ke tempat-tempat yang telah dikenalpasti bagi membuat aktiviti ‘riadah’, rekreasi yang boleh dilawati oleh para pengunjung.

Terdapat 365 spa berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang menyediakan pelbagai rawatan seperti urutan batu panas, rawatan lulur tradisional, aromaterapi, rawatan ibu bersalin, terapi hidro, mandian herba serta terapi Ayurveda serta urutan Malaysia yang memberi tumpuan kepada pelbagai teknik penyembuhan tradisional daripada pelbagai budaya yang ada di Malaysia.

Antara rawatan yang popular termasuk rendaman kaki herba Malaysia, Teknik pernafasan Qi Gong oleh masyarakat Cina, urutan kepala oleh masyarakat India, dan rawatan refleksologi yang bukan sahaja mengurangkan ketegangan fizikal, malah turut mengimbangi kesihatan badan, minda dan rohani. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast