KUALA LUMPUR – Seruan supaya rakyat berdaftar sebagai pemilih di kawasan-kawasan tempat mereka menetap, tinggal atau bermastautin adalah saranan yang sangat wajar dan amat demokratik.
Pemerhati politik tempatan, Azizi Safar berkata, tindakan itu lebih bertanggungjawab kerana mereka akan menentukan wakil-wakil rakyat bagi kawasan-kawasan yang mereka diami untuk mewakili mereka.
Ujarnya, ia juga berbeza dengan apa yang berlaku ketika ini yang mana ramai anak rantau pulang ke kampung masing-masing untuk mengundi dan kemudiannya pulang semula ke kawasan di mana mereka tinggal untuk mencari rezeki.
“Itu barulah perbuatan tidak bertanggungjawab kerana mereka tidak akan menjadi penerima kesan kebaikan atau keburukan daripada tindakan mereka mengundi calon atau parti dalam pilihan raya umu (PRU) kerana mereka tidak menjadi penduduk atau bermastautin di kawasan atau negeri di mana mereka telah mengundi.
“Jika sudah lama berumah tangga dan beranak-pinak di Selangor, amat wajarlah mereka juga mengundi di Selangor.
“Begitu jugalah bagi negeri-negeri lain. Balik kampung setahun sekali untuk raya saja, bukannya lima tahun sekali untuk pilihan raya,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab Halim Tamuri menggesa supaya mereka yang berdaftar sebagai pengundi di negeri lain tetapi menetap di Selangor segera memindahkan alamat undi ke negeri itu.
Menurut Ab Halim, adalah penting untuk penduduk yang menetap di negeri itu mengundi di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, gesaan Ab Halim itu dibantah Ahli Pimpinan Keadilan Pusat, Rodziah Ismail yang menyifatkannya sebagai taktik kotor serta mencemarkan prinsip demokrasi yang berasaskan representasi sebenar penduduk tempatan.
Sementara itu, Azizi menilai pandangan Rodziah tersasar jauh apatah lagi proses pendaftaran kawasan pilihan raya bagi pemilih secara automatik ketika ini juga adalah berdasarkan alamat kediaman seperti dalam MyKad atau rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Jelas beliau, taktik kotor pemindahan pemilih adalah memindahkan pengundi dari sesuatu kawasan pilihan raya ke suatu kawasan pilihan raya lain yang bukan kawasan pemastautinan mereka atau mereka bukan penduduk tetap kawasan baharu itu dengan tujuan memenangkan calon atau parti tertentu.
“Rodziah pun wajar bertanding di Shah Alam, bukannya di Ampang sebab beliau merupakan Ketua Cabang PKR Shah Alam, bukannya Ampang,” kata beliau. – MalaysiaGazette