Mahzan (kanan) dan Mohd Hairi selepas Majlis Perundingan Koperasi Negeri Peringkat Negeri Johor di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU –Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengenal pasti hampir separuh daripada koperasi yang berdaftar di negeri ini berdepan masalah aktiviti perniagaan dan berisiko dibatalkan penubuhannya.

Pengarahnya, Mahzan Noordin memberitahu, daripada 1,458 koperasi dengan keanggotaan hampir 863,000 ahli, hanya 800 koperasi aktif bersamaan 54 peratus.

“Selebihnya merupakan koperasi yang tidak aktif dan dormant yang berisiko dikenakan tindakan mengikut perundangan.

“Koperasi dormant ialah koperasi yang tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan dan gagal mengemukakan penyata kewangan selama tiga tahun berturut-turut manakala koperasi tak aktif melakukan kesalahan sama tapi tidak lebih tiga tahun.

“Koperasi bersifat dormant ini disebabkan mereka tidak mempunyai aktiviti perniagaan, jadi kita akan ambil tindakan pembatalan sahaja. Tahun lalu, sebanyak 70 koperasi dormant di negeri ini dibatalkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perundingan Koperasi Peringkat Negeri Johor di Bilik Mesyuarat Felcra Berhad Wilayah Johor, Bandar Baru Uda, di sini hari ini.

Majlis tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah.

Mahzan berkata, bagi koperasi yang tidak aktif pula, mereka akan diberi peluang untuk dipulihkan dengan bantuan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

“Sebab itu kita adakan Majlis Perlindungan Koperasi Negeri dengan melibatkan agensi seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), FELCRA Berhad (Felcra), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

“Inisiatif ini bertujuan membantu operasi menjana semula aktiviti perniagaan agar kekal berdaya saing,” katanya.

Tambahnya, semua koperasi diwajibkan mengadakan mesyuarat agung tahunan tidak lewat enam bulan selepas berakhirnya penyata kewangan tahunan.

Menurutnya, penangguhan boleh diberikan kepada koperasi namun jika masih gagal mematuhi syarat, tindakan denda RM1,000 akan dikenakan.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai masyarakat menubuhkan koperasi kerana menawarkan pelbagai manfaat, termasuk pengecualian cukai selama lima tahun pertama selepas penubuhan dan potongan cukai bagi modal kurang RM750,000 selepas tahun keenam.

“Tahun lalu sahaja, 38 koperasi baharu ditubuhkan dan SKM menyasarkan setiap komuniti, termasuk keluarga, taman perumahan serta masjid, menubuhkan koperasi sendiri.

“Koperasi ini berasaskan komuniti yang lebih mudah ditadbir secara setempat. Kami juga menawarkan pinjaman sehingga RM650,000 untuk koperasi yang ingin menjalankan projek pertanian atau perniagaan lain,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here