KUALA LUMPUR – Lanjutan tempoh perkhidmatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk tempoh dua lagi berikutan kejayaan cemerlang agensi ini di bawah kepimpinannya sejak lantikan pertama beliau pada April 2023.
Di bawah kepimpinan Reezal Merican, Matrade berjaya mencatatkan pelbagai pencapaian penting dalam meningkatkan nilai eksport negara dan memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.
Pada tahun 2024, nilai eksport meningkat 5.7% kepada RM1.508 trilion, mencapai 87.2% daripada sasaran yang ditetapkan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
Selain itu, beliau turut berperanan dalam kejayaan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) mencapai pengiktirafan global. MIHAS 2023 berjaya meraih Guinness World Record bagi “Kehadiran Terbesar Pameran Perdagangan Halal,” manakala MIHAS 2024 telah mencatatkan nilai jualan tertinggi dalam sejarah iaitu RM4.3 bilion, 34% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Kejayaan ini turut diperluaskan ke peringkat antarabangsa apabila MIHAS diperkenalkan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan berjaya mencatat jualan sebanyak RM2.2 bilion.
Reezal Merican turut turun padang mengetuai Misi Akselerasi Eksport (EAM) ke Mesir dan Libya yang berjaya menjana jualan sebanyak RM250 juta, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pengeksport tempatan untuk menembusi pasaran baharu terutama di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).
“Pelanjutan tempoh perkhidmatan beliau dijangka terus memperkukuh peranan Matrade dalam merangka strategi yang lebih efektif untuk memacu pertumbuhan perdagangan antarabangsa Malaysia.
“Matrade yakin di bawah kepimpinan beliau, organisasi itu akan terus menjadi pemangkin kepada kejayaan pengeksport Malaysia di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengumuman pelanjutan tempoh perkhidmatan Pengerusi Matrade telah dibuat oleh Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, semasa Majlis Peluncuran Madani Digital Trade (MDT) semalam di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).
Dalam ucapannya, Tengku Zafrul menzahirkan keyakinan bahawa kesinambungan kepimpinan beliau akan terus membawa kejayaan kepada Matrade dan memperkukuh daya saing eksport Malaysia. – MalaysiaGazette