Pejabat Daerah di Sungai Golok yang musnah akibat insiden letupan bom 8 Mac lalu Foto: Pejabat Perhubungan Awam Narathiwat

NARATHIWAT- Pejabat Daerah di Sungai Golok, Narathiwat menyambung semula pengeluaran pas sempadan bermula hari ini selepas perkhidmatan itu dihentikan sejak minggu lepas susulan insiden letupan bom di pusat bandar yang menyebabkan beberapa bangunan rosak teruk.

Penyambungan semula perkhidmatan pas sempada itu diumumkan Ketua Daerah, Supeeyan Taemohseng, hari ini.

Pada 8 Mac, letupan bom yang dipercayai dilakukan oleh pemberontak telah menyebabkan kerosakan besar kepada bangunan dalam kawasan pejabat daerah, termasuk auditorium yang turut menempatkan bahagian pengurusan pas sempadan.

Dua sukarelawan pertahanan terbunuh, manakala 14 pegawai dan orang awam cedera apabila penyerang melemparkan bom dan melepaskan tembakan ke arah pejabat daerah.

Setiap hari, kira-kira 300 orang memohon dokumen perjalanan sementara di pejabat tersebut untuk menyeberangi sempadan ke negeri Kelantan di Malaysia.

Penduduk Malaysia yang tinggal di Kelantan dinasihatkan untuk menyokong makanan tempatan dan tidak membelinya di Sungai Golok sepanjang bulan Ramadan, berikutan kebimbangan terhadap keselamatan di selatan Thailand.

Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassurudin Daud, menggesa rakyat Malaysia untuk membeli juadah tempatan demi keselamatan mereka berikutan situasi yang membimbangkan di kawasan sempadan, menurut laporan Bernama pada hari Rabu.

“Tiada keperluan untuk pergi ke Sungai Golok dalam keadaan seperti ini apabila kita boleh menyokong peniaga tempatan di negeri sendiri,” katanya.

Bom turut meletup di tiga lokasi lain di Sungai Golok pada 8 Mac, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Menurut Persatuan Promosi Pelancongan Songkhla, insiden keganasan di selatan Thailand yang mendorong Malaysia menasihatkan rakyatnya menangguhkan lawatan ke kawasan tersebut dijangka menyebabkan pembatalan 10 peratus tempahan, dengan pengusaha pelancongan mendesak kerajaan mencari penyelesaian jangka panjang bagi memulihkan keyakinan.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast