Jabatan Penguatkuasaan MPKS bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor (PKDKS) dalam operasi pemeriksaan ke atas bazar Ramadan di sekitar Kuala Selangor.

KUALA SELANGOR – Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengeluarkan 41 kompaun atas pelbagai kesalahan dalam operasi pemeriksaan ke atas bazar Ramadan di sini, bermula 2 hingga 12 Mac lalu.

Setiausahanya, Mohd Yusli Askandar berkata, antara kesalahan itu ialah berkuku panjang, tidak memakai apron, topi dan kasut serta tidak mendapatkan suntikan anti-tifoid seperti yang diwajibkan.

“Jabatan Penguatkuasaan MPKS bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor (PKDKS) telah memeriksa sebanyak lapan bazar, melibatkan 693 petak niaga dan 965 pengendali makanan.

“Pemeriksaan ini bertujuan memastikan pematuhan terhadap peraturan kebersihan dan kesihatan makanan demi kesejahteraan pengunjung bazar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jabatan Penguatkuasaan MPKS bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor (PKDKS) dalam operasi pemeriksaan ke atas bazar Ramadan di sekitar Kuala Selangor.

MPKS turut mengeluarkan 33 kompaun kepada peniaga yang tidak memiliki lesen perniagaan dalam operasi bersepadu itu.

“PKDKS juga telah menjalankan aktiviti persampelan makanan untuk tujuan analisis mikrobiologi.

“Persampelan ini melibatkan lauk pauk yang dijual bagi memastikan ia selamat untuk dimakan dan tidak mengandungi pencemaran berbahaya.

“Langkah ini diambil bagi mengurangkan risiko penyakit bawaan makanan dan memastikan kualiti makanan yang dijual di bazar Ramadan terjamin,” katanya.

Katanya lagi, sebagai langkah pencegahan dan kesedaran awam, PKDKS turut mengedarkan risalah berkaitan amalan pengendalian makanan yang betul kepada pengunjung bazar.

“Inisiatif ini bertujuan mendidik masyarakat mengenai kepentingan kebersihan makanan dan peranan mereka dalam memastikan keselamatan makanan yang dibeli.

“Operasi pemeriksaan ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan peniaga dan pengunjung mengenai kepentingan kebersihan serta kepatuhan kepada peraturan yang ditetapkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast