Tiga warga tempatan selepas gagal menyeludup benih udang kara di perairan Tanjung Piai, Pontian semalam

PONTIAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menggagalkan cubaan menyeludup 83,000 benih udang kara yang didalangi oleh tiga warga tempatan dalam Op Khas Pagar Laut 1/2025 di perairan Tanjung Piai, dekat sini, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, pihaknya mengesan sebuah bot mencurigakan sedang bergerak dari Batu Pahat ke Gelang Patah sebelum ditahan pada kedudukan 0.1 batu nautika tenggara Sungai Boh pada pukul 2.30 pagi.

Menurut beliau, bot ronda Maritim Malaysia kemudian melakukan pemeriksaan lanjut dan menemukan 17 kotak polisterin yang mengandungi kira-kira 83,000 benih udang kara bernilai hampir RM500,000.

“Bot terbabit dipercayai menyeludup masuk benih udang kara tersebut dari negara jiran ke negeri Johor tanpa kebenaran Jabatan Perikanan Malaysia.

“Tiga individu warga tempatan berumur diantara 30 hingga 33 tahun yang berada di dalam bot tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bot dan semua barang rampasan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Johor, Sungai Pulai untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 40(1) Akta Perikanan 1985 iaitu mengimport atau mengeksport apa-apa ikan hidup tanpa permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Kama Azri berkata, Maritim Johor akan menggiatkan operasi penguatkuasaan di perairan negeri ini susulan pengaktifan Op Khas Pagar Laut Siri 1/2025 yang dilancarkan pada 12 Mac lalu, khususnya bagi mengekang sebarang jenayah rentas sempadan menjelang musim perayaan.

“Orang ramai disarankan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut sepanjang musim perayaan ini bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199402,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here