KUALA LUMPUR – Ehsan Group of Companies meneruskan tradisi lebih tiga dekad dalam menyemarakkan bulan Ramadan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
Pada tahun ini, syarikat hartanah bumiputera itu tampil dengan misi yang lebih besar melalui Jelajah Ihya Ramadan Ehsan 2025, membantu lebih 3,500 golongan asnaf, warga emas, anak yatim dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di seluruh negara.
Menurut pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Hamid P.V Abdu, Ramadan kali ini lebih bermakna apabila beliau bersama isteri dan seluruh warga syarikatnya turun padang menjelajah ke kawasan pedalaman untuk menyantuni mereka yang kurang berkemampuan.
“Kami hadir sendiri ke perkampungan terpencil untuk menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan, sumbangan kewangan serta menaja juadah berbuka puasa sepanjang bulan ini.
“Hati saya benar-benar tersentuh melihat keperitan hidup mereka, ada yang hanya bergantung kepada pendapatan harian RM20 atau RM30 dengan bekerja sebagai penoreh getah atau buruh ladang.
“Bia rpun sumbangan yang kami berikan tidak seberapa, tetapi kegembiraan yang terpancar di wajah mereka begitu menyentuh hati. Sekurang-kurangnya, ada sinar kebahagiaan untuk mereka menyambut Ramadan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Jelajah Ihya Ramadan akan diteruskan sehingga akhir bulan selain menyediakan juadah berbuka puasa kepada ribuan penerima.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Ehsan Group of Companies di Masjid India Kajang yang meraikan 500 anak yatim, OKU, asnaf dan warga emas serta dihadiri oleh Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali.
Dalam pada itu, Abdul Hamid yang juga Presiden MIMCOIN, melahirkan rasa syukur apabila ramai dalam kalangan korporat, NGO serta masyarakat India Muslim turut bersama-sama menjalankan kerja amal pada bulan mulia ini.
“Saya kagum dan terharu melihat keikhlasan mereka membantu. Ramai yang bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab sosial, tetapi turut menderma dengan penuh keikhlasan demi kebajikan golongan kurang bernasib baik.
“Semoga setiap amal kebajikan ini mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah,” ujarnya.
Menyentuh program berbuka puasa yang disertai lebih 1,000 penerima hari ini, Abdul Hamid bersyukur dapat melihat keceriaan di wajah mereka.
“Insya-Allah, kami akan teruskan usaha ini pada tahun-tahun mendatang agar mereka juga dapat merasai kebahagiaan menyambut Aidilfitri seperti orang lain.
“Kami juga sedang merancang untuk memperluaskan kerja amal ini termasuk menaja umrah kepada sebahagian daripada mereka yang memerlukan. Semoga Allah permudahkan,” katanya. -MalaysiaGazette