Drama Bidaah diarahkan oleh Pali Yahya dan diterbitkan oleh produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima.

KUALA LUMPUR – Pihak penerbit drama bersiri Bidaah akur dengan teguran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan bersedia untuk memotong mana-mana adegan yang tidak sesuai untuk tontonan masyarakat.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya telah memanggil dan mengadakan pertemuan di antara pihak produksi dengan Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam.

“Ini bagi meneliti kandungan drama tersebut merangkumi klip video episod yang mencetuskan kontroversi dan  episod yang belum ditayangkan bagi menilai kesan serta implikasi kandungannya.

“JAKIM telah membuat teguran dan memberikan penegasan kepada pihak produksi bahawa sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sirajuddin  berkata, JAKIM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan seniman dan karyawan dalam menghasilkan kandungan bermanfaat serta mematuhi garis panduan agama.

Katanya, JAKIM juga menegaskan bahawa Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam, yang dikeluarkan pada tahun 2015, merupakan rujukan utama bagi semua pihak dalam industri penyiaran.

“Islam tidak menolak kesenian bahkan mengiktirafnya sebagai salah satu cara untuk mengekspresikan keindahan yang dianugerahkan oleh Allah dan dakwah kepada masyarakat.

“Namun seni dalam Islam mesti mematuhi garis panduan syariah, membawa kepada kebaikan, dan tidak melalaikan atau mempromosikan perkara bertentangan dengan nilai dan etika,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial adegan Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul menyentuh janggut Faizal Hussein menggunakan kaki yang menjadi perdebatan ramai dalam media sosial.

Drama Bidaah mula ditayangkan menerusi platform penstriman Viu Malaysia pada 6 Mac lalu dan diarahkan oleh Pali Yahya dan diterbitkan oleh produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima.

Drama berkenaan berkisarkan kehidupan pengamal ajaran sesat, Walid yang telah tersebar di sebuah perkampungan. Walid dengan berani mengaku bahawa dirinya merupakan jelmaan Iman Mahdi kepada para pengikutnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here