JOHOR BAHRU – “Semasa saya memanjat tangga dengan masuk dari luar untuk menyelamatkan mangsa di tingkat atas, saya ternampak Bak Ris sedang tidur dalam bilik. Saya simbah air dan mahu pergi menariknya keluar dari bilik tetapi asap terlalu tebal sebelum tiba-tiba api menyambar.
“Ini membuatkan saya hilang imbangan sebelum terjatuh dari tangga terus ke bawah. Kaki saya bengkak dan ada anggota badan luka. Saya cuba lagi untuk memanjat tangga tetapi tidak dapat kerana api sudah terlalu marak dengan asap tebal di bahagian atas rumah tersebut.”
Demikian cerita seorang mangsa kebakaran, Syed Mohamad Mashor Syed kassim, 43, semasa cuba menyelamatkan jirannya iaitu seorang lelaki warga emas dalam kebakaran tiga buah rumah di Jalan Permas 2/4, Taman Permas Jaya, Masai, di sini, malam tadi.
Kebakaran kira-kira pukul 12 tengah malam itu mengorbankan Md Aris Samar, 84, yang mesra dipanggil Bak Ris oleh jiran-jirannya manakala seorang anak perempuannya, 57, dan tiga cucu perempuannya berusia 16, 18, dan 21 terselamat.
Kejadian tersebut melibatkan tiga buah rumah teres berkenaan yang terbakar antara 20 hingga 80 peratus dan berlaku semasa penghuni di taman berkenaan sedang tidur.
Bercerita lanjut, Syed Mohamad Mashor mendakwa, Bak Aris tidak menyedari kejadian tersebut kerana sedang tidur dan beranggapan warga emas tersebut sudah tidak sedarkan diri kerana lemas disebabkan asap terlalu tebal memenuhi ruang bilik tersebut.
Dia yang masih bujang dan bekerja di sebuah kawasan pembinaan bersyukur kerana bapanya, 68, yang lumpuh serta ibu dan kakaknya terselamat dalam kebakaran tersebut.
“Semasa kejadian penduduk setempat sudah membawa keluar bapa saya dengan mendukungnya manakala ibu dan kakak diselamatkan jiran,” ujarnya dan memberitahu mereka sekeluarga masih tidak sempat membeli sebarang kelengkapan untuk Hari Raya Aidilfitri.
Seorang lagi mangsa kebakaran, Latifah Samsuri, 31, menyedari kebakaran berlaku selepas seorang daripada tiga anaknya terbatuk kerana asap sudah masuk dalam rumahnya.
Dia yang merupakan suri rumah sebelum itu tidur di ruang tamu terus mengejutkan semua anaknya dan membawa mereka keluar untuk menyelamatkan diri.
“Semasa kejadian, suami, Mohd Faiz Raja Mohd Yatim, 34, keluar bekerja. Syukurlah semua selamat. Barang-barang di tingkat atas musnah termasuk persiapan baju hari raya yang sudah pun dibeli. Selepas ini kami sekeluarga akan menumpang di rumah ibu saya berdekatan kawasan ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, cucu kepada warga emas tersebut, Ezad Haiqal Affendi, 23, mengetahui kejadian tersebut semasa sedang minum sebelum menerima panggilan daripada adiknya pukul 12 tengah malam memaklumkan rumah datuknya terbakar.
“Semasa sampai, rumah sudah terbakar habis dan masa itu jiran sebelah cuba selamatkan (datuk) tetapi tidak sempat kerana api terlampau besar. Kali terakhir saya jumpa datuk pukul 7 petang semalam. Memang sedih apa yang berlaku dalam keadaan beberapa minggu lagi nak raya dengan keadaan rumah (musnah) lagi,” katanya.
Jenazah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tengkorak, Plentong, di sini, hari ini.- MalaysiaGazette