PEKAN – Seorang pekerja ladang menemui ajal apabila motosikal berkuasa tinggi ditungganginya terbabas dan bergesel dengan kenderaan lain sebelum merempuh tiang elektrik di Kampung Simpai di sini semalam.
Mangsa terbabas selepas melanggar seekor ayam hutan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa adalah Mohammad Razwan Aiykal Rejab berusia 21 tahun dan beralamat di Pasir Puteh, Kelantan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa yang bekerja sebagai penyelia ladan menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Panigale 1199 dikatakan bergesel sebuah kereta jenis Nissan Almera di Jalan Kuantan – Segamat.
”Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati, Ducati yang ditunggang mangsa dari arah Kuantan menghala ke Segamat.
”Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa telah melanggar seekor ayam hutan yang sedang melintas jalan lalu terbabas serta bergesel dengan yang berada di hadapannya dan melanggar tiang elektrik sebelah kiri jalan.
”Bagaimanpun pemandu Nissa Almera yang bekerja sebagai pengurus pasaraya tidak mengalami kecederaan dalam kejadian pukul 7.38 malam itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette