MELAKA – Selepas 10 tahun tidak muncul di layar perak, pelakon dan pengarah Que Haidar, 46, mengakui dia kini sedang rancak mempromosikan sambal diusahakan bersama rakan kongsinya sejak hampir tiga tahun lalu.
Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Sha Tengku Haidar, berkata, malah dia juga merancang untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Melaka untuk menjadikan 22 jenis sambal botol itu sebagai produk ikonik negeri Hang Tuah ini.

Que Haidar turut mempromosikan sambal diusahakannya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem.
“Sebenarnya sudah hampir tiga tahun saya usahakan perniagaan Sambal by Que Haidar ini yang sentiasa mendapat permintaan dalam kalangan penggemar kerana penghasilannya menggunakan bahan-bahan premium tanpa perasa pedas tiruan.
“Sebab itu saya merancang untuk adakan koloberasi dengan kerajaan negeri Melaka supaya produk kelahiran Melaka Halal Hub di Jasin ini menjadi hidangan ikonik Melaka,” katanya.

Terdahulu, dia ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah di Taman Seri Duyong, turut mempromosikan 22 jenis sambal diusahakannya itu kepada pengunjung bazar.
Semua 22 jenis sambal merah dan hijau terdiri daripada tempoyak, petai, bilis, ikan masin dan geprek berharga antara RM23 hingga RM25 sebotol bersaiz 180 gram.
“Apa yang menariknya, sambal ini dihasilkan sendiri dari resepi orang Melaka menggunakan cili dan bawang sepenuhnya tanpa sebarang gula bagi menjamin kualiti dan rasa sambal sebenar.
“Sebab itu kami yakin Sambal by Que Haidar ini boleh pergi jauh dan mahu menjadikan Tahun Melawat Melaka sebagai platform terbaik mengembangkan lagi perniagaan sambal ini,” katanya.

Que Haidar mahu menjadikan Tahun Melawat Melaka sebagai platform terbaik mengembangkan lagi perniagaan Sambal by Que Haidar yang diusahakan bersama rakan kongsi.
Ditanya mengenai perkembangan terkini di pentas seni, Que yang mula menempa nama dalam filem pertama berjudul Haru Biru pada 2004 berkata, dia baru selesai penggambaran First Job Puasa yang dijangka ditayangkan pada Syawal tahun hadapan.
“Sebelum itu saya ada shooting iklan raya bersama Proton dan sejurus Aidilfitri ini saya akan membintangi lagi satu filem selepas 10 tahun tidak muncul di depan skrin,” ujarnya. – MalaysiaGazette