SEKINCHAN – Siapa sangka puting beliung di Taman Ria, di sini, pada Selasa lalu merosakkan rumah pusaka berusia lebih 40 tahun milik Norazhar Jamaludin @ Nuruddin.
Lebih menyedihkan apabila jumlah kos untuk membaiki kerosakan rumahnya itu mencecah RM15,000.
Menjelang Aidilfitri yang memerlukan belanja lebih dari kebiasaan menganggu fikiran Norazhar kerana dalam masa sama terpaksa memikirkan kos untuk membaiki bumbung rumah yang rosak keseluruhannya.
“Saya sedih sebab itu rumah ibu bapa saya. Kalaulah ibu bapa saya hidup mungkin mereka sedih tengok keadaan rumah itu sekarang…Banyaknya modal nak keluar, nak raya lagi, nak baiki rumah,” katanya Ketika ditemui di Majlis Penyerahan Sumbangan Mangsa Ribut dan Penyampaian Sumbangan Masjid dan Surau di Dewan Seri Sekinchan.
Beliau merupakan salah seorang daripaada 48 penerima bantuan selaku mangsa kejadian puting beliung baru-baru ini.
Terdahulu katanya, ketika kejadian beliau dan isteri tiada di rumah.
Betapa terkejutnya Norazhar melihat keadaan rumahnya yang tidak berbumbung sejurus sahaja tiba selepas kejadian berkenaan.
Salah seorang lagi mangsa kejadian itu, Latifah Yusof, 60, mengalami trauma selepas kejadian berkenaan.

Bermula dengan terdengar bunyi seolah-olah mercun berdentum, warga emas itu tidak menyangka ianya bumbung rumahnya yang terbang.
Lebih mengejutkan katanya lagi apabila beberapa rumah jirannya yang berdekat juga berdepan dengan keadaan sama.
“Lepas tu saya hairan dengan bumbung rumah bunyi kuat. Selepas itu hujan air masuk rumah. Terkejut jugalah Ketika kejadian macam sakit jantung.
“Saya beritahu dalam WhatsApp Group kejiranan untuk minta tolong tapi rupa-rupanya rumah lain pun sudah tiada bumbung,” katanya.
Selepas kejadian itu, Latifah mendedahkan beliau bimbang keselamatannya apatah lagi beliau mengasuh dua bayi berusia setahun di rumah itu.
“Risau juga kalau kena bayi yang saya asuh tu, trauma juga. Saya tunggu insurans jadi tutup bumbung rumah sementara waktu dulu…Rasa macam tidak selamat duduk dalam rumah,” katanya.
Ujarnya, pihak insurans memaklumkan kerugian mencecah sehingga RM30,000.
“Sebab air masuk jadi perabot ada yang kembang kayu di atas pun kembang, jatuh. Walaupun tidak banyak rosaknya tapi masih takut nak tinggal di rumah tu,” tambahnya.
Seorang lagi mangsa Mohd Norkhairie Mat Salleh juga trauma dan mendedahkan masing terbayang-bayang ketika kejadian berlaku.

“Keadaan rumah sekarang bumbung teruk. Air masuk rumah. Alhamdulillah dengan bantuan ini dapatlah membantu kami perbaiki bumbung rumah dan yang terkesan
“Ini merupakan pertama kali kami berdepan kejadian ini, trauma jugalah. Masa kejadian ada isteri dan anak di rumah itu yang lagi bimbang masa itu,” katanya.
Mohd Norkhairie berkata, kos untuk membaiki bumbung rumahnya dijangka kira-kira RM1,000.
Sebanyak 48 rumah terjejas akibat kejadian berkenaan.-MalaysiaGazette