KUALA LUMPUR – Individu yang ditahan kerana menumbuk seorang pelajar sekolah menengah akibat perselisihan faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian, Kajang, semalam, direman selama sehari, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, seramai enam individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kes tersebut.
“Kenyataan enam individu telah dirakam, reman dibenarkan sehari sahaja oleh mahkamah,” katanya ringkas dalam kenyataan hari ini.
Semalam, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan selepas dikatakan menumbuk muka pelajar sekolah menengah hingga patah batang hidung dalam satu perselisihan faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian.
Rakaman itu kemudiannya ditularkan di aplikasi Whatsapp.
Dalam pada itu Naazron berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada pukul 9.24 malam yang memaklumkan dipukul suspek kira-kira pukul 2.15 petang.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, punca kejadian adalah disebabkan selisih faham semasa memandu di atas jalan antara pengadu dan suspek tersebut.
“Dalam kejadian ini, pengadu telah mendapatkan rawatan di Hospital Kajang dan disahkan mengalami kecederaan retak tulang batang hidung akibat dipukul.
“Siasatan juga mendapati, pengadu tidak mempunyai lesen memandu dan telah dikenakan tindakan saman trafik,” katanya.
Bertindak diatas maklumat itu, suspek yang merupakan penasihat agensi pelancongan berjaya ditahan pada pukul 9.50 malam bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette