KUALA LUMPUR – Fenomena berbuka puasa di kawasan lapang seperti dataran, taman awam dan lokasi terbuka semakin mendapat tempat pada bulan Ramadan terutama kepada golongan muda.
Trend itu bukan hanya sekadar menjamu selera tetapi juga mengukuhkan hubungan persahabatan dan memberi pengalaman unik kepada mereka.

Bagi Muhammad Irfan Fakhrullah, 21, pengalaman berbuka seperti itu sesuatu yang baharu tetapi sangat menyeronokkan.
“Sejujurnya, seronok sebab bukan selalu dapat berbuka puasa dan luangkan masa bersama-sama kawan selain di tempat kerja.
“Walaupun sebenarnya iftar kami ini tidak dirancang, pengalaman ini membuka ruang untuk kami melepaskan tekanan daripada kehidupan seharian yang sibuk,” katanya ketika ditemui di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Meskipun cuaca hari ini tidak begitu menyebelahi mereka namun semangat untuk berkumpul tetap tinggi.
“Hujan tadi agak lebat tetapi tetap bermakna sebab kami melaluinya bersama-sama. Kesempatan seperti ini jarang dapat dinikmati, menjadikannya lebih bermakna apabila dikenang kelak,” ujarnya.

Sementara itu, Ariana Darwisyah Ahmad Bukhari, 17, turut berkongsi keterujaan merasai pengalaman pertama berbuka di tempat terbuka buat kali pertama.
“Saya rasa sangat seronok tetapi hari ini hujan jadi susah sedikit mahu mencari tempat. Alhamdulillah, hanya sekejap sahaja hujan tadi.
“Perasaan berbuka di tempat terbuka ini beri lebih banyak kebebasan untuk menikmati suasana tanpa perlu tergesa-gesa,” katanya.
Menurut Ariana Darwisyah, keseronokan berkumpul dengan rakan-rakan dalam suasana santai sangat berbeza daripada kebiasaannya di rumah atau restoran.
“Bila berbuka macam ini, kita boleh pilih makanan sendiri, duduk mana yang kita suka dan paling penting, dapat rasa kemeriahan bersama orang lain yang juga berbuka di sini.
“Secara tidak langsung, menjadikan pengalaman berbuka di tempat terbuka lebih istimewa terutama bagi mereka yang jarang berpeluang untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Raisha Qaisara Halim, 18, pula menyifatkan suasana iftar seperti itu sebagai satu kenangan yang sukar dilupakan.
“Nanti apabila masing-masing sudah sibuk, tak dapat nak lakukan aktiviti seperti ini.
“Jadi bila ada peluang dan ruang, kita perlulah nikmati saat-saat ini yang mungkin sukar diulang pada masa akan datang,” katanya.
Walaupun, suasana yang penuh dengan orang ramai meriah, Raisha Qaisara mengakui terdapat cabaran tersendiri seperti kesukaran mencari tempat kosong di kawasan sesak.
“Kita perlu datang cepat kalau tidak tempat akan penuh tetapi cabaran inilah yang mejadi sebahagian daripada keseronokan berbuka di kawasan lapang kerana ia menjadi lebih menarik dan unik,” tambahnya.
Suasana berbuka yang santai dan tidak terikat dengan protokol restoran memberi kelainan yang disukai ramai terutama golongan muda yang lebih gemar aktiviti kasual.
Dengan kombinasi kemeriahan suasana, keunikan pengalaman, dan kehangatan persahabatan yang terjalin, trend berbuka di kawasan lapang pasti akan terus menjadi satu budaya yang dinanti-nantikan setiap kali Ramadan tiba. – MalaysiaGazette