KUALA LUMPUR – Kesediaan DAP untuk meneliti semula syarat-syarat ketat yang menghalang pemimpin parti itu menerima anugerah kebesaran yang membawa gelaran Datuk mendapat sindiran daripada Gerakan.
Setiausaha Agung Gerakan, Wong Chia Zhen berkata, pendiran terbaharu Anthony Loke mencerminkan DAP menunjukkan sikap sebenar parti itu.
“Jika dahulu mereka cepat menuduh ahli politik Cina yang menerima darjah kebesaran sebagai tidak ikhlas berkhidmat dan hanya mengejar status serta pangkat, hari ini mereka sendiri tidak mempunyai masalah menerimanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Chia Zhen mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP itu yang mana parti tersebut bersedia untuk meneliti semula syarat-syarat ketat yang menghalang pemimpinnya menerima anugerah kebesaran.
Loke berkata, cadangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang akan dipilih selepas Kongres Kebangsaan kali ke 18, hari ini.
Mengulas lanjut, Chia Zhen berkata, kenyataan Loke nyata berbeza dengan apa yang pernah dilaungkan parti itu sebelum ini.
“Perubahan ini secara sinis jelas menunjukkan pendirian mereka yang semakin matang, walaupun agak berbeza daripada sikap mereka sebelum ini.
“Dahulu pemimpin Gerakan hanya memakai songkok sudah dianggap salah di mata DAP, malah dikecam seolah-olah ia satu pengkhianatan.
“Tetapi hari ini, pemimpin DAP sendiri dengan selesa mengenakan songkok tanpa sebarang kontroversi. Ini membuktikan bahawa elemen budaya dan tradisi yang dahulunya mereka pertikai kini boleh diterima dengan baik, satu perkembangan yang patut diraikan,” katanya. – MalaysiaGazette