Datuk Seri Fadillah Yusof.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) sudah menghantar surat berhubung permohonan untuk mendapatkan peruntukan bagi Ahli Parlimen pembangkang.

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau baru sahaja menerima surat berkenaan yang dihantar Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan meneliti kandungan surat tersebut dan akan memberi maklum balas segera.

“Selepas meneliti dan mendapat panduan, saya akan respon tetapi tidak perlulah dibincangkan di media,” katanya seperti dilaporkan BH Online hari ini.

Fadillah ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Kem Ihya Ramadan di Auditorium Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS), Telaga Air, Kuching, Sarawak hari ini.

PN sebelum ini konsisten menolak draf memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang kerana mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata, pembangkang menolak MoU itu kerana syarat yang ditetapkan kerajaan disifatkan terlalu ketat dan tidak adil, selain PN seolah-olah perlu menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan hanya untuk mendapatkan sejumlah peruntukan.

Sementara itu, berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sudah dipertimbangkan kerajaan, Fadillah enggan menjelaskan bila ia akan mula disalurkan.

Minggu lalu, Fadillah berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan permohonan Syed Saddiq berikutan beliau satu-satunya Ahli Parlimen pembangkang yang mengadakan perbincangan serta menghantar permohonan rasmi untuk mendapatkan peruntukan itu.

Menurut Fadillah, secara prinsipnya, Syed Saddiq bersetuju dengan beberapa syarat yang ditetapkan kerajaan sebelum ini dan ketika ini pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan draf perjanjian dengan bekas Menteri Belia dan Sukan itu. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast