SHAH ALAM – Penasihat DAP yang baharu, Lim Guan Eng menegaskan, masa depan beliau hanya boleh ditentukan oleh ahli-ahli parti dan bukannya orang luar.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, walaupun hanya memperoleh 1,719 undi dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, namun beliau terharu perwakilan masih memberi kepercayaan kepada dirinya.
“Saya menghormati keputusan dibuat oleh wakil-wakil yang saya sebut tadi.
“Masa depan saya ditentukan oleh ahli-ahli parti, bukanlah orang luar.
“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi undi saya,” katanya pada sidang media selepas Kongres Kebangsaan DAP 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Bagan itu juga menggesa semua akar umbi dan pimpinan DAP agar memberi sokongan kepada Anthony Loke untuk memimpin parti itu.
“Kita sekarang harus bersatu di bawah pimpinan saudara Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung DAP,” katanya. – MalaysiaGazette