Mohamad Shafiq Abdul Halim
Mohamad Shafiq Abdul Halim

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) didakwa berpotensi memberi kesan negatif signifikan kepada pemilik hartanah di bandar, merentasi semua golongan masyarakat.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, retorik politik yang cuba membataskan skop RUU URA kepada membantu golongan miskin bandar, khususnya Melayu tidak tepat dan mengelirukan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berhenti menyembunyikan risiko sebenar dan bercakap benar kepada rakyat.

“Cadangan penurunan ambang persetujuan untuk pembangunan semula (80% bangunan kurang 30 tahun, 75% lebih 30 tahun, dan 51% bangunan terbiar) boleh membuka ruang kepada jualan paksa dan pemindahan komuniti.

“Pemilik minoriti boleh dipaksa menjual hartanah mereka walaupun tidak bersetuju. Ini amat membimbangkan bagi pemilik di kawasan perumahan kos rendah dan sederhana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan Perdana Menteri mengingatkan pelbagai pihak supaya tidak menganggu hasrat kerajaan membantu golongan miskin di bandar, dengan menganjurkan perhimpunan bagi membantah RUU URA.

Perdana Menteri berkata, usaha yang dilakukan kerajaan menerusi penggubalan RUU itu bertujuan untuk membela nasib rakyat miskin yang sekian lama terpaksa menetap di flat usang dan daif dengan kapasiti satu bilik dan satu bilik air, di sini.

Shafiq berkata, keadilan pampasan yang akan diberikan kepada pemilik terjejas masih samar dan rakyat berhak mengetahui mekanisme nilai pasaran sama ada menerima unit penggantian setara dan kos pemindahan serta gangguan emosi.

“Wujudnya potensi besar untuk pemaju mengambil kesempatan dan kurangnya ketelusan dalam pelaksanaan projek di bawah RUU URA.

“Penubuhan jawatankuasa kerajaan untuk meneliti projek adalah langkah baik, tetapi keberkesanannya bergantung pada kebebasan dan ketelusan mereka. Ketiadaan kriteria pemilihan pemaju yang jelas juga menimbulkan kebimbangan,” katanya.

Selain itu, Shafiq juga mendakwa, RUU URA berisiko menyebabkan peningkatan kos sara hidup termasuk yuran penyelenggaraan dan cukai yang tidak mampu ditanggung golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurutnya, terdapat potensi konflik antara RUU URA dan undang-undang sedia ada seperti Akta Hakmilik Strata 1985 yang memerlukan persetujuan 100 peratus daripada semua pemilik.

“Wujud keperluan untuk memastikan ia selaras dengan hak Perlembagaan untuk memiliki harta serta undang-undang lain berkaitan.

“Harus diingatkan RUU URA bukan hanya terpakai kepada pemilik di kawasan PPR atau setinggan.

“Undang-undang ini juga berpotensi digunakan kepada semua jenis pemilik hartanah di kawasan bandar pada masa akan datang, termasuk pemilik apartment, kondominium dan premis komersial.

“Ini bermakna, tanpa penelitian dan perincian yang teliti, pemilik hartanah daripada pelbagai latar belakang boleh terjejas oleh pelaksanaan RUU ini,” katanya

Sehubungan itu, beliau menyeru Perdana Menteri berhenti menggunakan retorik politik yang mengabaikan potensi keburukan RUU URA.

“Beliau perlu mengakui dan menangani kebimbangan yang sah ini secara terbuka dan telus.

“Rakyat berhak mengetahui kebenaran sepenuhnya mengenai implikasi undang-undang ini terhadap hak milik dan kehidupan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here