KUALA LUMPUR – UMNO Sabah mempersoalkan kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyifatkan kerajaan negeri berjaya mencapai pelbagai kejayaan sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negeri itu.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kenyataan itu bertentangan dengan realiti di lapangan yang mana penduduk Sabah terus berdepan dengan masalah keperluan asas yang tidak selesai.
Antaranya, ujar beliau, berkenaan keperluan air dan elektrik yang mana masih ramai penduduk Sabah sukar mendapatkan bekalan air bersih, manakala kejadian terputus bekalan elektrik kerap berlaku.
Selain itu, tambahnya, keadaan jalan raya di Sabah sama ada jalan kampung atau jalan Persekutuan yang rosak juga terus menjadi rungutan rakyat, sekali gus menunjukkan infrastrukturnya masih jauh ketinggalan.
“Bagaimana kerajaan (negeri) boleh mendakwa mereka mentadbir dengan baik jika isu asas seperti ini pun masih gagal diselesaikan?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyangkal dakwaan Kerajaan Negeri Sabah yang ditadbir bersama Pakatan Harapan (PH) gagal, sebaliknya telah membuktikan keupayaan mentadbir negeri itu dengan baik.
Hajiji memberikan contoh bagaimana kerajaan negeri berjaya memeterai perjanjian penting dengan Petronas yang menjadi antara pencapaian utama pentadbiran semasa, selain meningkatkan bantuan kepada pelajar merangkumi pelajar Tingkatan Lima dan Enam sehingga ke universiti.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, kerajaan negeri juga gagal dalam soal ekonomi dan pekerjaan apabila ramai penduduk Sabah terpaksa berhijrah ke Semenanjung atau luar negara kerana kekurangan peluang pekerjaan yang berkualiti di negeri sendiri.
Dalam masa sama, ujarnya, kos sara hidup rakyat juga terus meningkat, namun tidak ada pelan konkrit daripada kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban rakyat.
“Adakah semua ini mahu dinafikan? Adakah rakyat yang bersuara mengenai kesusahan mereka mahu dianggap sebagai penyebar fitnah?
“Rakyat Sabah tidak buta dan tidak tuli. Mereka sendiri yang merasai kesan daripada kegagalan pentadbiran kerajaan negeri hari ini,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya kerajaan GRS benar-benar berfungsi dengan baik, rakyat sepatutnya merasai kemajuan itu, bukan sekadar mendengar angka dan laporan pencapaian di atas kertas.
Sehubunga itu, beliau menggesa kerajaan negeri bersikap jujur dengan rakyat dan tidak hanya bercakap soal kejayaan di atas pentas politik, sedangkan rakyat di bawah terus berdepan kesusahan setiap hari.
“Justeru, biarlah rakyat Sabah yang menilai sendiri, pilihan raya akan datang adalah peluang untuk rakyat membuat keputusan sama ada mahu terus memberi mandat kepada kerajaan yang ada atau memilih perubahan untuk masa depan yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette