KENYATAAN Pemuda Pas Terengganu berhubung kontroversi melibatkan KKM.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Terengganu meluahkan rasa kecewa dan simpati yang mendalam terhadap ribuan warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM) yang saban hari bergelut dengan tekanan kerja, fasiliti yang serba kekurangan dan ketidakpastian masa depan.

Namun, dalam masa sama, Ketua Lajnah Kesihatannya, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, warga kerja KKM itu terpaksa menyaksikan kementerian sendiri menganjurkan majlis sambutan Aidilfitri yang mewah bersama artis dan selebriti.

Sedangkan, realitinya, kata beliau, lebih 3,000 doktor kontrak meletak jawatan sejak 2021, kebanyakannya kerana tekanan kerja melampau, sistem penempatan yang lemah dan ganjaran yang tidak setimpal.

“Di hospital kerajaan, doktor oncall masih tiada tempat yang sesuai untuk berehat, jururawat membeli barang keperluan pesakit dengan duit poket sendiri, dan katil pesakit patah atau bocor dibiarkan tanpa ganti.

Ketika ini, wad-wad sesak, sistem e-placement caca-marba, burnout makin parah – tetapi pengurusan atasan KKM dilihat lebih ghairah menganjurkan acara glamor.

“Di mana kepekaan? Di mana empati terhadap frontliner sendiri?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Tengku Muhammad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, pihaknya tidak membantah atau menganggap penganjuran sambutan Aidilfitri sebagai satu dosa.

Namun, ujarnya, dalam situasi petugas dibiarkan dalam tekanan, rakyat menantikan perkhidmatan lebih baik dan bajet kesihatan tidak mencukupi – majlis sebegitu dilihat membazir dan melukai hati warga kesihatan yang masih berjuang dalam sunyi.

Sehubungan itu, beliau menggesa KKM kembali memberi fokus kepada kebajikan kakitangan mereka termasuk menaikkan semula elaun khas, menangani isu penempatan dan memberi sokongan mental serta fizikal selepas pandemik Covid-19.

Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan juga perlu segera menyalurkan bajet kepada fasiliti kesihatan untuk membaiki wad usang, menambah kelengkapan dan menyediakan ruang rehat sesuai untuk para petugas kesihatan.

“Hentikan acara-acara besar yang tidak bermanfaat langsung kepada perkhidmatan kesihatan awam.

“Wang itu lebih baik digunakan untuk rakyat dan petugas,” katanya.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di laman sosial Facebook KKM yang memuat naik berkenaan majlis sambutan Aidifitri mendapati hantaran tersebut mendapat kritikan dan kecaman majoriti warga maya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Tiada masalah untuk anjurkn Jamuan Raya. Tiada had kehadiran untuk rakyat, semua boleh hadir. Semua dijemput. Setahun sekali sahaja untuk warga KKM. Klu nak cari salah, apapun yg dibuat semuanya salah, semuanya tak boleh oleh kaum Pas.
    KKM akui ada beberapa perkara perlu diurus ditangani dengan baik utk warga KKM, dah dibangkitkan dlm kabinet. Tindakan berperingkat akan dibuat.

  2. Kenapa lah dibiarkan wujud spesis yg orang lain buat semua salah…tapi bila dia buat semua dianggap HALAL walaupun SKANDAL dgn bini orang

Comments are closed.