Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mengingatkan DAP boleh menerima nasib yang sama seperti MCA, iaitu merudum sokongan daripada pengundi.

Ujar beliau, perkara itu telah berlaku kepada Gerakan apabila rakyat mula melihat wajah sebenar parti berkenaan sejak berkuasa di Pulau Pinang.

Kini, ujar beliau, Gerakan seolah-olah hidup segan mati tak mahu.

“DAP sekarang adalah parti kerajaan. Rakyat mula nampak kebolehan atau prestasi mereka.

“Kelemahan mereka juga semakin mudah dikesan. Cakap serupa bikin atau tidak?” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Jelas Mohd Puad, kelemahan DAP bukan sahaja dinilai oleh rakyat tetapi oleh ahli-ahli partinya sendiri.

Katanya, ia jelas dalam keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif (CEC) DAP semalam yang menyaksikan kedudukan pihak-pihak yang berseteru merosot.

Beliau mengambil contoh undian yang diterima Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan bekas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sama-sama merosot manakala Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok langsung tidak terpilih sebagai anggota CEC.

“Itu cabaran jadi parti pemerintah. Ahli parti sendiri akan nampak hipokrasi pemimpinnya.

“Sebab itu sebelum jadi kerajaan jangan cakap besar. Dinasti keluarga juga akan pupus,” katanya.

Pada pemilihan CEC DAP semalam, Guan Eng hampir tersingkir daripada persaingan merebut tempat dalam CEC DAP apabila hanya berada pada kedudukan ke-26 daripada 30 ahli yang terpilih.

Keputusan pemilihan itu juga menyaksikan beberapa nama besar dalam DAP turut gagal dalam persaingan merebut tempat dalam CEC antaranya Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan adik kepada Guan Eng yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here