KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangguhkan pemilihan penempatan 2,245 calon pegawai perubatan lantikan tetap yang dijadualkan hari ini ekoran gangguan teknikal serius berpunca daripada akses luar biasa terhadap sistem ePlacement.
Kementerian tersebut menerusi kenyataan berkata, berdasarkan log rangkaian trafik pada 27 Februari lalu didapati ramai pengguna mengakses server tersebut melalui pelbagai
peranti termasuk penggunaan kaedah tidak sepatutnya.
“Laporan penuh capaian pada hari kejadian menunjukkan lebih 19 juta ‘hit’ telah mengakibatkan pangkalan data sistem tidak dapat dicapai.
“Ini merupakan salah satu faktor besar yang menyumbang kepada penangguhan pemilihan penempatan ini,” katanya.
E-Placement merupakan sebuah sistem penempatan pegawai perubatan ke lokasi-lokasi yang mempunyai kekosongan berdasarkan ‘first come, first serve’ (siapa cepat dia dapat).
Meskipun KKM melaksanakan penambahbaikan terhadap proses dan infrastruktur sistem berkenaan, namun beberapa simulasi yang dilakukan mendapati ia masih tidak dapat menawarkan proses dan keputusan pemilihan penempatan yang adil untuk semua pihak.
Sehubungan itu, kata KKM, permohonan baharu yang dimaklumkan sebelum ini iaitu 25 Mac, 26 Mac dan 27 Mac 2025 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.
Sementara itu jelasnya, sistem pemilihan first-come, first serve akan digantikan dengan sistem yang lebih telus, adil, berasaskan merit dan memenuhi penawaran dan permintaan.
“Walaupun ketelusan dan keadilan ditambah baik, kepentingan perkhidmatan tetap mendapat keutamaan tertinggi kerana objektif sebenar ePlacement ialah penempatan bagi mengisi kekosongan yang perlu dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Untuk makluman, 50 peratus kekosongan sedia ada adalah di Sabah dan Sarawak.
“KKM akan mengadakan sesi libat urus bersama pegawai perubatan yang terlibat bagi menerangkan dengan lebih terperinci berkenaan isu sistem ePlacement ini,” tambahnya.
Menurut KKM, permohonan dijangka dibuka semula dalam tempoh enam hingga lapan minggu dari sekarang.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan para pegawai perubahan meluahkan kekecewaan apabila sistem pemilihan penempatan (E-placement) mereka yang sepatutnya dibuka hari ini, ditangguhkan sekali lagi.
Lebih mengecewakan mereka mendakwa, penangguhan itu yang dimaklumkan menerusi e-mel yang diterima semalam, ditukar ke minggu terakhir sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.- MalaysiaGazette
Pemilihan penempatan tunda lagi, doktor rasa dipermainkan KKM
















