Wei Choon (kanan) manakala Meng Hong (dua dari kiri) didakwa atas pertuduhan memiliki senjata tiruan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini pertuduhan memiliki puluhan senjata termasuk bom tangan tiruan pada bulan lalu.

Tertuduh, Goh Wei Choon, 30, yang bekerja sendiri manakala juruwang, Cheng Meng Hong, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan terhadap Wei Choon, dia didakwa memiliki 76 pistol serta senapang tiruan pelbagai jenis dan kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Perai Jaya 3 di sini, jam 3.40 petang pada 24 Februari lalu.

Wei Choon didenda RM3,500.

Meng Hong pula, didakwa memiliki 25 laras senjata tiruan serta tiga bom tangan tiruan dan kesalahan itu dilakukan di parkir sebuah pusat beli belah di Jalan Baru Perai di sini, jam 3 petang pada 24 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan pegawai pendakwa Inspektor Roslina Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Meng Hong didakwa memiliki senjata serta bom tangan tiruan.

Dalam mitigasi rayuan YBGK meminta kedua-dua tertuduh diberikan denda minimum atas alasan pendapatan bulan Wei Choon RM2,000 dan senjata tiruan itu semua bagi tujuan penjualan.

Manakala  kesemua senjata yang dirampas daripada Meng Hong pula untuk kegunaan perniagaan paintball.

Majistret kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap mereka serta penjara enam bulan jika gagal membayar denda.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here