PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan pekarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini kira-kira 4.30 petang hari ini.
Ia selepas Ahli Parlimen Bera itu selesai memberi keterangan hampir tujuh jam kepada pegawai SPRM berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Ismail Sabri yang menaiki kenderaan Toyota Velfire berwarna hitam dilihat terus meninggalkan perkarangan tanpa bertemu wartawan yang menunggu di luar perkarangan bangunan SPRM sejak pagi tadi.
Bagaimanapun, usaha petugas media mendapatkan kenyataan Ismail Sabri tidak berhasil dan difahamkan beliau akan menyambung memberi keterangan kepada SPRM esok pukul 10 pagi.
Terdahulu, Ismail Sabri tiba di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 9.52 pagi susulan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Sebelum ini, media melaporkan, SPRM sudah merekodkan keterangan 36 individu dalam siasatan terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Ismail Sabri.
Menurut sumber, 32 saksi dan empat bekas pegawai Ismail Sabri yang ditahan sebelum ini sudah dirakam percakapan.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Terdahulu, SPRM dilaporkan menyita wang kira-kira RM170 juta membabitkan mata wang seperti Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta. – MalaysiaGazette