KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyatakan secara terperinci syarat-syarat yang dikenakan kepada pihak pengurusan tertinggi dan ahli lembaga pengarah Sapura Energy Bhd dalam menyelesaikan kemelut hutang syarikat itu.
Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, berdasarkan laporan tahunan 2024, pendapatan syarikat tersebut adalah sebanyak RM4.32 billion dengan pendapatan paling kukuh melalui sektor penggerudian atau drilling.
Bagaimanapaun, syarikat berkenaan turut mengalami kerugian ratusan juta dalam sektor kejuruteraan dan pembinaan.
“Suntikan dana sebanyak RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd adalah satu bentuk bailout mengikut definisi sebenar bailout walaupun kerajaan menyatakannya sebagai pelaburan strategik.
“Tindakan ini dilaksanakan untuk mengelakkan kesan daripada kegagalan syarikat tersebut menjadi muflis dan gagal membayar hutangnya.
“Memang benar, pemegang saham terbesar Sapura Energy adalah AmanahRaya Trustees Berhad melalui pelbagai Amanah Saham termasuklah ASB, ASM, Didik dan Wawasan dengan pegangan sebanyak hampir 42 pertus mengikut laporan tahunan syarikat 2024.
“Jika syarikat Sapura Energy muflis, rakyat Malaysia yang melabur di Amanah Saham akan menerima tempias paling teruk,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Shahir berkata, dana tersebut digunakan khusus untuk menyelesaikan tunggakan bayaran kepada lebih 2,000 vendor Sapura Energy yang mana 80 pertus vendor itu adalah bumiputera.
Katanya, jika Sapura Energy muflis, maka ekosistem vendor industri minyak dan gas turut akan terjejas teruk.
Beliau menambah, keadaan akan bertambah teruk lagi tatkala setiap syarikat minyak dan gas yang beroperasi hari ini sedang melaksanakan right-sizing dalam mendepani kitaran harga minyak yang tidak menentu.
“…(namun) Kerajaan MADANI juga bertindak tegas dalam pengurusan kewangan syarikat. Berdasarkan laporan tahunan 2024, ahli-ahli Lembaga Pengarah Sapura Energy memperoleh imbuhan sebanyak RM5 juta termasuk bonus sebanyak RM288,000 untuk tahun kewangan 2024 walaupun syarikat mencatat kerugian selepas cukai sebanyak RM519 juta.
“Rakyat Malaysia selaku pembayar cukai kini sebagai penyumbang utama kepada RM 1.1 billion suntikan dana tersebut, pastinya tidak akan berpuas hati sekiranya imbuhan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah seperti business as usual.
“Di manakah logiknya untuk mendapat bonus tatkala, syarikat mengalami kerugian?” soal beliau. – MalaysiaGazette