Mohd Fared melakukan pemeriksaan di sebuah kedai makan di Pasar Borong Pandan, Johor Bahru hari ini kerana menyediakan makanan untuk orang Islam tidak berpuasa.

JOHOR BAHRU – Sebahagian umat Islam warga asing yang sedang makan di sebuah kedai makan di Pasar Borong Pandan, di sini, lari lintang pukang semasa diserbu pihak Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, mereka menyedari kehadiran anggota penguat kuasa JAIJ dan melarikan diri melalui pintu belakang kedai tersebut.

Beliau memberitahu, kedai makan milik warga tempatan itu adalah lokasi ketiga yang diserbu dalam operasi hari ini.

“Serbuan ini adalah hasil aduan awam selain bagi melihat pematuhan Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kepada kesalahan menjual dan membeli makanan untuk dimakan pada ketika Ramadan.

“Dua serbuan awal dilakukan, tidak ada tangkapan dilakukan manakala serbuan terakhir ini kita dapati ramai warga asing beragama Islam ditahan sedang makan.

“Ketika serbuan, ada yang tengah menyuap makanan, ada yang menghirup minuman secara terbuka. Ini perbuatan yang tidak menghormati kesucian agama Islam khususnya di bulan Ramadan.

“Terdapat 20 orang makan di kedai makan itu. Walaupun mereka bukan orang tempatan, selagi mana mereka beragama Islam, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah itu terpakai juga untuk mereka bagi dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan serbuan pematuhan di bulan Ramadan di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru di sini hari ini.

Katanya, siasatan mendapati kedai makan terbabit mengenakan bayaran RM320 sebulan bagi setiap pelanggan untuk makan di premis tersebut termasuk di waktu tengah hari semasa Ramadan.

Mohd Fared berkata, setiap seorang individu yang ditahan itu boleh dikenakan kompaun RM1,000 atau dikenakan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Menurutnya, mereka akan diberikan notis untuk dipanggil ke bahagian penguatkuasaan sebelum tindakan selanjutnya sama ada diberi pertimbangan oleh bahagian Pendakwaan Syarie Negeri Johor.

“Kita juga akan minta pihak JAIJ bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat semakan secara menyeluruh sekiranya terhadap peniaga yang seakan menggalakkan orang Islam makan secara terbuka. Jika mereka tak jual, tak ada yang beli.

“Begitu juga dengan pemilik premis ini, kita akan panggil untuk disiasat, bagaimana perkara ini boleh dibenarkan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here