LAPAN petugas kemanusiaan MAPIM yang maut akibat serangan Israel di utara Gaza, Sabtu lalu. - Foto: MAPIM

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan terhadap Israel atas jenayah perang yang dilakukan termasuk dalam serangan yang membunuh lapan pekerja kemanusiaan di Beit Lahiya, utara Gaza, Sabtu lalu.

Sambil mengutuk serangan itu, Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan segera perlu diambil ke atas Israel bagi memastikan keselamatan pekerja bantuan dan orang awam di Gaza terjamin.

Apatah lagi, ujar beliau, serangan Israel ke atas petugas kemanusiaan bukan pertama kali berlaku dan berpuluh-puluh petugas telah terkorban sebelum ini sepanjang jenayah genosid Israel di Gaza.

Tegasnya, serangan itu juga merupakan pelanggaran berat terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva, yang melindungi orang awam serta pekerja kemanusiaan di zon konflik.

“MAPIM bersama rakan kongsi, Al-Khair Foundation, amat berdukacita atas kehilangan pasukan kemanusiaan yang syahid dalam serangan ini, termasuk tiga petugas media yang sedang mendokumentasikan usaha bantuan kepada rakyat Gaza.

“Kami merakamkan takziah kepada ahli keluarga petugas yang syahid dan mendoakan agar mereka tabah melalui uijian ini.

“Semoga roh semua yang syahid itu menerima ganjaran yang terbaik dari Allah SWT,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, lapan petugas MAPIM terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Israel di Beit Lahiya, utara Gaza, Sabtu lalu.

Serangan itu berlaku kira-kira jam 1.30 petang waktu tempatan ketika mereka sedang mendirikan khemah bagi menempatkan keluarga pelarian yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berterusan di wilayah tersebut.

Mereka yang terkorban itu ialah Mahmoud Yahya Al-Sarraj; Bilal Hossam Oqeila; Mahmoud Samir Oselim; Mahmoud Khaled Oselim; Mohammed Al-Ghafeer; Hazem Ghareeb; Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad.

Sementara itu, menurut Mohd Azmi, meskipun berdepan risiko keselamatan yang tinggi, MAPIM tetap komited untuk meneruskan misi kemanusiaan di Gaza.

Setakat ini, katanya, MAPIM telah berjaya mendirikan 1,000 khemah bagi menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel.

Sehubungan itu, ujarnya, MAPIM mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera bagi menghentikan pembunuhan berterusan ke atas rakyat Palestin serta akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan di Gaza untuk memastikan rakyat Palestin mendapat keperluan asas.

“MAPIM menyeru masyarakat dunia untuk bangkit menentang kezaliman dan tidak membiarkan Israel terus melakukan keganasan tanpa sebarang tindakan balas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here