Maritim menahan lima kru termasuk seorang warga Myanmar yang tidak mempunyai permit kerja berhampiran Pulau Harimau, Mersing semalam.

MERSING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) di perairan di sini semalam selepas mendapati menggajikan seorang kru warga Myanmar tanpa kelulusan sah.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, VNT berkenaan ditahan dalam Ops Jaksa, Ops Tiris dan Ops Khas Pagar Laut pada kedudukan 2.2 batu nautika utara Pulau Harimau pada pukul 12.30 tengah hari.

“Kru warga asing tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Vesel bersama-sama lima kru termasuk warga Myanmar berkenaan yang berumur lingkungan 52 hingga 57 tahun dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kes disiasat bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji warga asing tanpa kebenaran serta kegagalan mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Zon Maritim Mersing menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil bagi mengekang sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara,” ujarnya.

Tambahnya, sebarang aduan atau maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan kecemasan di laut boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor 07-219 9404 atau kecemasan 999.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here