KUALA LUMPUR – Orang luar seperti Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin tidak sepatutnya campur tangan dan seharusnya mengelak daripada mengulas mengenai proses demokrasi dalaman DAP.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, Mohd Asri yang juga lebih dikenali sebagai Dr. Maza seharusnya mengamalkan apa yang beliau sendiri sering tekankan sebelum ini.
“Jika beliau tidak mahu bukan Muslim mencampuri atau mengulas mengenai hal ehwal agama Islam, maka beliau sendiri juga tidak perlu mengulas mengenai pemilihan CEC DAP, yang langsung tiada kaitan dengannya,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook beliau malam ini.
Awal hari ini, Dr. Maza melahirkan rasa syukur apabila Rayer tidak terpilih sebagai salah seorang ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada pemilihan DAP semalam.
Dalam masa sama, beliau memuji perwakilan DAP kerana tidak memilih individu yang disifatkan tidak sesuai untuk keharmonian negara.
Sementara itu, Rayer melahirkan penghargaan kepada semua perwakilan DAP yang mengundi beliau semalam meskipun gagal menempatkan diri dalam kalangan 30 ahli CEC.
“Saya juga menghormati proses demokrasi dan keputusan yang dibuat oleh para perwakilan DAP,” katanya.
Rayer merupakan antara nama besar dalam DAP yang tidak terpilih antara 30 ahli CEC dalam pemilihan parti itu semalam bersama-sama beberapa pemimpin DAP lain yang turut gagal antaranya Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar.
Kegagalan Rayer itu agak mengejutkan memandangkan beliau sebelum ini antara yang lantang mempertahankan DAP dan Pakatan Harapan (PH) daripada serangan pembangkang khususnya di Parlimen.
Sebelum ini, Mohd Asri terlibat dalam perang mulut dengan Rayer susulan kontroversi berkenaan kenyataan beliau yang didakwa menghina agama Hindu.
Malah, Mohd Asri juga pernah membuat kenyataan meminta kerajaan supaya tidak memberikan apa-apa jawatan kepada Rayer dengan mendakwa pemimpin DAP berkenaan sering menimbulkan provokasi dalam masyarakat majmuk negara ini. – MalaysiaGazette