Norhalim (kanan) selepas menyampaikan bantuan barang keperluan dapur dan kesihatan kepada Shapidah di kediamannya di Taman Orkid, Kluang, hari ini.

KLUANG – Pengorbanan seorang ibu tunggal menjaga anak lelakinya yang koma selepas kemalangan mendapat perhatian Kelab D’Kluang selepas portal ini menyiarkan kesengsaraan hidup mereka Sabtu lalu.

Shapidah Shahed, 50, memberikan sepenuh perhatian terhadap Mohd Zaki Hanapi, 24, kerana hanya terlantar dan tidak mampu lagi menguruskan diri sendiri.

Mohd Zaki perlu seperti seorang bayi sejak lapan tahun lalu selepas terlibat kemalangan ketika berkonvoi bersama rakan-rakannya ke Gunung Berlumut ketika berusia 16 tahun.

Sejak itu Shapidah terpaksa menggunakan tenaga empat kerat untuk mencari nafkah dengan mengusahakan kuih sejuk beku dan sarapan pagi.

Prihatin dengan nasib mereka, Kelab D’Kluang mengusahakan bantuan dari Pasaraya Econsave Kluang untuk membolehkan mereka mempunyai kelengkapan barang keperluan dapur dan persediaan menyambut Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.

Pengerusi Kelab D’Kluang, Md Norhalim Md Amin berkata, pendedahan kehidupan keluarga ini benar-benar menyentuh hati membuatkan pihaknya menggerakkan usaha agar ada pihak yang boleh menghulurkan bantuan.

“Kami amat bersyukur apabila pengurusan Pasaraya Econsave sanggup tampil sebagai penyumbang barang-barang keperluan dapur untuk keluarga ini menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi.

“Selain itu, kami turut menyumbang sedikit wang ringgit bagi menampumg kegunaan mereka membeli apa-apa yang difikirkan perlu untuk untuk ibadah puasa,” katanya ketika ditemui di rumah Shapidah di Taman Orkid, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Bahagian Barang Segar, Pasaraya Econsave Kluang, Saifulrudin Baharudin menyampaikan barang-barang keperluan dapur kepada Shapidah.

Dalam pada itu, Shapidah melahirkan rasa syukur dengan perhatian dan sumbangan orang ramai kepada keluarganya.

Semua bantuan yang di terima katanya, akan digunakan sebaik-baiknya agar dapat menjimatkan perbelanjaan mereka khususnya untuk menyambut kedatangan Syawal ini nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here