SHAH ALAM – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mendedahkan ada runner tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan berganda sehingga RM750 bagi jualan slot tempahan temu janji di premis tersebut.
Sedangkan, setiap slot temujanji yang ditetapkan Puspakom hanyalah berharga RM3.50.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, ia dilakukan dengan menggunakan nombor casis (nombor badan kenderaan) sama tetapi nombor pendaftaran berlainan sehingga mencecah 200 slot tempahan.
“Siasatan masih dilakukan dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kita sedang teliti, siapa dan mengapa melakukannya dan kita akan panggil (runner terlibat),” katanya hari ini ketika sidang media.
Terdahulu, beliau bersama Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli meninjau pemeriksaan kenderaan di Puspakom Seksyen 28, di sini hari ini.
Sebelum ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, Puspakom tidak akan membenarkan tempahan slot pemeriksaan berganda selepas ini bagi nombor pendaftaran yang sama susulan mengesan penjualan slot oleh orang tengah kepada pihak lain dengan harga lebih tinggi.
Sehubungan itu katanya, sistem tempahan berganda mula dihentikan bermula hari ini.
Sementara itu, Aedy Fadly menegaskan, pihaknya sedang mendapatkan bantuan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengetahui bagaimana tindakan boleh diambil kepada runner yang terlibat itu.
“Kita cuba dapatkan runner tersebut, tetapi buat masa sekarang semua saluran kita ada, tidak dapat hubungi. Jadi kita dapatkan kaedah lain untuk dapatkan runner tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Op Aidilfitri yang bermula 24 Mac hingga 8 April ini, Aedy menjelaskan cuti 2,500 anggota JPJ akan dibekukan sepanjang operasi itu dilaksanakan, kecuali pada 1 dan 2 Syawal. – MalaysiaGazette