JOHOR BAHRU – Tindakan lelaki warga emas menampar seorang lelaki Cina yang sedang makan di sebuah pusat beli-belah, di sini, semalam disifatkan sebagai tindakan melulu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sepatutnya umat Islam tidak seharusnya bersifat serkap jarang sebaliknya menyiasat sesuatu perkara dahulu termasuk bagi niat mencegah kemungkaran.
“Dalam apa jua situasi, adalah tidak dibenarkan mengambil tindakan sendiri sebaliknya melaporkan kepada pihak berkuasa. Nasihat saya kepada semua pihak, nak cegah kemungkaran bagus tapi kena siasat dulu.
“Islam suruh kita bertabayun. Jangan tersalah hukum orang dan kita tak berhak menghukum,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan serbuan Op Kesan di Pasar Borong Pandan, di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai insiden seorang warga emas menampar seorang lelaki Cina yang sedang makan di sebuah pusat beli-belah sehingga tular dalam media sosial.
Katanya, tindakan warga emas itu merupakan satu kesalahan berdasarkan siasatan awal, didapati bahawa individu yang ditampar itu bukan beragama Islam.
Terdahulu, mangsa menerusi aplikasi X mendakwa warga emas itu bertanyakan kepadanya adakah dia seorang Islam atau sebaliknya sebelum meminta untuk melihat kad pengenalan.
Mangsa memaklumkan dia ke kedai berkenaan di sebuah pusat beli-belah di sini untuk menikmati makanan seperti kebiasaannya.
“Selepas tanya kalau saya Islam atau bukan Islam dan marah kenapa makan pada masa puasa ni, walaupun saya bukan Islam dan tidak mengganggunya.
“Dia tampar saya beberapa kali pula,” katanya.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana anak kepada lelaki itu segera menenangkan situasi sebelum memohon maaf terhadap tindakan bapanya.
“Pak cik itu tidak menghormati dan tampar saya di tempat awam.
“Saya boleh terima permohonan maaf itu tapi saya tak boleh lepaskan perkara ini,” jelasnya.
Menerusi hantaran sama, mangsa turut memuat naik rakaman video insiden berkenaan. – MalaysiaGazette