KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid mengakui terganggu dengan insiden seorang lelaki bukan Islam telah diserang hanya kerana makan pada siang hari di bulan Ramadan di Johor Bharu baru-baru ini.
Beliau berkata, tindakan agresif itu bukan sahaja melanggar undang-undang bahkan satu gambaran salah terhadap ajaran Islam yang menekankan keamanan, toleransi dan penghormatan terhadap semua individu tanpa mengira agama.
“Kelakuan sebegini mencerminkan satu trend kemarahan yang salah serta kegagalan mengawal diri iaitu nilai yang amat ditekankan dalam Islam khususnya sepanjang Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Syerleena juga terganggu dengan laporan media seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan selepas memukul seorang pelajar sekolah menengah dalam satu perselisihan faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian, Kajang, Jumaat lalu.
Syerleena berkata, reaksi tidak wajar terhadap perkara-perkara remeh seperti ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai semakin merebaknya sikap tidak bertoleransi dan kemarahan tidak terkawal dalam masyarakat kita.
“Jika ibadah puasa bertujuan untuk mengajar kesabaran dan disiplin diri, mengapa kita semakin kerap melihat individu membiarkan emosi menguasai tindakan mereka walaupun dalam situasi remeh?
“Ramadan adalah bulan suci yang mengajak kita untuk mengamalkan nilai kesabaran, disiplin diri dan belas kasihan.
“Ia adalah masa untuk refleksi spiritual di mana kita berusaha menjadi insan yang lebih baik dan memperkukuh hubungan kita dengan Maha Pencipta,” katanya.
Menurutnya, melihat seseorang bertindak ganas hanya kerana perkara kecil bukan sahaja mengecewakan tetapi juga memalukan.
“Berpuasa adalah perjalanan keimanan peribadi bukan alasan untuk kemarahan atau kezaliman terhadap orang lain. Sejak bila kita membiarkan kelemahan diri menentukan bagaimana kita melayani orang di sekeliling kita?
“Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan budaya di mana rasa hormat dan persefahaman harus menjadi asas dalam setiap interaksi kita,” katanya.
Katanya lagi, tindakan seorang individu tidak mencerminkan keseluruhan komuniti Muslim tetapi ia memberi peringatan keras bahawa kejahilan dan sikap panas baran boleh mencetuskan konflik yang tidak perlu.
“Insiden-insiden ini mendedahkan satu masalah yang lebih besar dalam masyarakat kita, trend menganggap diri sendiri betul yang berselindung di sebalik ‘kewarakan agama’ (religious piety).
“Terlalu kerap kita melihat individu mendakwa mempertahankan Islam tetapi bertindak dengan cara yang bercanggah dengan prinsip sebenar agama ini.
“Mereka memilih kekerasan daripada kebijaksanaan, kemarahan daripada kesabaran.
“Isu ini bukan sekadar tentang seorang lelaki yang gagal mengawal emosinya bahkan gambaran lebih besar mengenai salah tafsir dan kemarahan tersalah arah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette