SUNGAI PETANI – Seorang tukang sapu maut dalam kemalangan di Kilometer 14 Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil berhampiran Simpang Tiga Lubuk Segintah di sini, semalam.
Kejadian jam 4.45 petang itu mengakibatkan mangsa K.Muniama, 74, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun dengan motosikal jenis Modenas CT100 ditunggang mangsa.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dari arah Sungai Petani menghala ke Kuala Ketil manakala pacuan empat roda itu pula dari Bukit Selambau menuju ke Sungai Petani.
“Siasatan lanjut mendapati ketika pemandu Hilux bergerak terus ke Kuala Ketil tiba-tiba mangsa keluar dari simpang kiri untuk membelok ke kanan iaitu menghala ke Sungai Petani.
“Pemandu itu cuba mengelak namun jarak terlalu dekat mengakibatkan dia melanggar bahagian fender hadapan sebelah kanan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette