MELAKA – Tular video memaparkan seorang lelaki dipercayai mabuk tiba-tiba memukul kepala seorang penunggang motosikal yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat Kota Syah Bandar, di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian antara pengadu berusia 24 tahun dan suspek, 25 tahun berlaku kira-kira jam 2 pagi
“Semasa sedang menunggu lampu isyarat, tiba-tiba suspek lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire disyaki mabuk keluar dari kenderaannya itu dan terus memukul belakang kepala pengadu.
“Pengadu kemudian turun dari motosikalnya dan menolak suspek berusia 25 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, tiba-tiba pengguna jalan raya lain datang untuk membantu pengadu menyebabkan tercetus insiden tolak menolak antara mereka.
“Suspek kemudian masuk semula ke dalam kenderaannya itu dan melarikan diri namun berjaya ditahan pada jam 3 petang hari sama.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, tular kejadian itu menerusi video berdurasi 47 saat menunjukkan penunggang motosikal itu tiba-tiba dikasari seorang lelaki. – MalaysiaGazette