KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyifatkan sidang Parlimen akan datang adalah masa terbaik untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada hanya 10 tahun.
Pengerusinya, Faisal Abdul Aziz berkata, pindaan boleh dibuat kepada Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan peraturan tersebut.
Ujar beliau, pihaknya yakin dengan kedudukan kukuh Kerajaan Madani hari ini, jadi tidak sukar untuk kerajaan mendapatkan sokongan dua pertiga majoriti Ahli Parlimen, seperti kejayaan meminda Perlembagaan untuk menjayakan agenda menggubal semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, baru-baru ini.
“Dalam masa sama, kita juga yakin agenda ini akan disokong oleh ahli Parlimen pembangkang demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya menerusi platform X malam tadi.
Semalam, ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kerajaan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Ujar Anthony Loke, perkara itu perlu dilakukan dalam tempoh 24 bulan memandangkan ia adalah manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang perlu ditunaikan.
Sementara itu, Faisal menambah, sekiranya pindaan tersebut dapat diluluskan, ia akan menjadi contoh yang baik dan harus diteladani oleh kerajaan negeri untuk menghadkan tempoh menteri besar, ketua menteri atau premier dengan meminda Perlembagaan negeri masing-masing. – MalaysiaGazette
















