Pengamal media menunggu ketibaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri di hadapan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 MAC 2025

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadual menyambung memberi keterangan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya tidak hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Sumber agensi penguatkuasaan undang-undang memaklumkan kepada media, Ismail Sabri akan hadir untuk berbuat demikian esok.

Bagaimanapun, masa kehadiran Ahli Parlimen Bera itu tidak dimaklumkan.

Semalam, Ismail Sabri datang ke ibu pejabat SPRM untuk kali yang keempat bagi tujuan tersebut.

Beliau disiasat berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 3 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah safe house, hasil serbuan SPRM.

SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun bank bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ismail Sabri sudah tampil memberi keterangan kepada SPRM pada Januari 2024 berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta untuk publisiti kerajaan semasa pentadbirannya.

Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri sudah menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lalu.

Ismail Sabri sepatutnya dijadualkan hadir pada 5 Mac lalu untuk memberi keterangan, namun tidak dapat hadir ekoran masalah kesihatan dan diberi sijil cuti sakit.

Beliau hadir merakam percakapan selepas tempoh cuti sakit tamat pada 12 Mac lalu.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM telah merekodkan keterangan 32 saksi dan empat bekas pegawai Ismail Sabri yang ditahan sebelum ini berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram. –

Terdahulu, sekumpulan pengamal media menunggu kehadiran beliau di luar pintu masuk bangunan Ibu Pejabatn SPRM sejak pukul 9 pagi.

Beliau sepatutnya hadir sebelum pukul 10 pagi untuk diambil keterangan kali kelima

Namun, sehingga pukul 10.30 pagi kelibat beliau tidak kelihatan dan media kemudian dimaklumkan beliau tidak hadir pada hari ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here