MELAKA – Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini selepas didapati bersalah memberi suapan kepada anggota JPJ lain sebagai habuan tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori lebih muatan, enam tahun lalu.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Che Fadzlie Izwan Che Johari, 38, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap lapan pertuduhan dihadapi di akhir kes pembelaan.
Bapa kepada tiga anak itu bagaimanapun terselamat daripada meringkuk di dalam penjara pada Aidilfitri ini selepas mahkamah membenarkan rayuan penangguhan hukuman penjara dan denda berjumlah RM80,000.
Mengikut lapan pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan rasuah berjumlah RM4,250 kepada anggota JPJ lain sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan lori melebihi muatan.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di tiga lokasi berbeza di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah antara 1 Januari 2019 dan 31 Disember 2020.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman satu tahun penjara dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan.
Elesabet mengarahkan kesemua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh jatuh hukum.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Asyraf Mohamad Tahir manakala tertuduh diwakili Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh.
Sheikh Ikhzan terdahulu merayu penangguhan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan tetapi dibantah Mohamad Asyraf dan mencadangkan jaminan dinaikkan kepada RM22,000 berbanding RM15,000 sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara.
Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan hukuman dengan syarat pihak pembelaan memfailkan notis rayuan hari ini dan jumlah jaminan dinaikkan kepada RM22,000. – MalaysiaGazette